Kertas Pandora: Anwar kemuka rayuan usul kepada Speaker Dewan Rakyat

Salinan surat rayuan yang dikemukakan oleh Anwar pada Khamis. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengemukakan soalan ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Salinan surat rayuan yang dikemukakan oleh Anwar pada Khamis. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengemukakan soalan ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan rayuan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Khamis bagi menyegerakan perbahasan mengenai pendedahan Kertas Pandora berkaitan pengeluaran ratusan bilion ringgit keluar dari negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, langkah tersebut diambil susulan penolakan usul tersebut oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Parlimen pada Rabu.

Berdasarkan salinan surat yang dikongsikan menerusi hantaran di Facebook beliau pada Khamis, rayuan usul berkenaan dilakukan di bawah Peraturan Mesyuarat 90 (1) dan 90 (2).

“Saya berpendapat bahawa perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers perlu disegerakan.

“Saya berharap rayuan usul ini dapat diteliti dan dipertimbangkan dengan sesegera mungkin,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Pada Rabu, Azhar menolak usul dicadangkan oleh Anwar bagi membahaskan mengenai pendedahan Kertas Pandora di Dewan Rakyat selepas mendapati ia tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat persidangan di Dewan Rakyat didahulukan dengan aturan mesyuarat.

Azhar mencadangkan agar Anwar menggunakan prosedur lain untuk membincangkan isu tersebut termasuk menerusi soalan menteri, soal jawab lisan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Pendedahan Kertas Pandora yang dilakukan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir sepanjang 25 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Antara individu dikaitkan menerusi pendedahan berikut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli keluarganya serta Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.

Pendedahan yang dibuat melibatkan hampir 12 juta fail itu turut mendapati sebanyak 118 firma luar pesisir yang sebahagian besarnya didakwa melibatkan pemilik yang berasal dari Malaysia.