Pindaan undang-undang: Polis kemuka cadangan kepada kerajaan

Mohamad Fuzi (kiri) dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Mohamad Fuzi (kiri) dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak kerajaan berhubung undang-undang yang akan digubal, dipinda, diperbaharui serta dimansuhkan sebelum ia dibentangkan di Parlimen, Isnin depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasukan khas telah ditubuhkan sejak enam bulan lalu yang diketuai pegawai perundangan bagi mengkaji perkara ini.

"Pasukan khas ini meliputi pucuk pimpinan tertinggi PDRM, pegawai kanan, ketua polis negeri, pegawai peringkat bawahan, anggota peringkat rendah, persatuan serta pesara polis.

"Bagi perkara ini, mana kita fikir tidak sesuai, kita telah kemuka cadangan kepada pihak kerajaan. Kita kemukakan secara lisan dan bertulis mana kita fikir tidak sesuai dan perlu pertimbangan," katanya.

Mohamad Fuzi berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM 2018, di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut memohon kerajaan untuk menekankan isu kebajikan warga PDRM.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong memaklumkan lebih 100 undang-undang akan digubal, dipinda, diperbaharui dan dimansuhkan.

Antara senarai undang-undang yang dikemukakan ialah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Artikel Berkaitan:

Undang-undang lain termasuk Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Kerja 1955, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Rang Undang-Undang Gangguan Seksual, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.