Belanjawan 2022: MPOB, MPOC mahu peruntukan lebih besar

MPOB, MPOC minta lebih peruntukan dalam Belanjawan 2022 untuk industri minyak sawit.
MPOB, MPOC minta lebih peruntukan dalam Belanjawan 2022 untuk industri minyak sawit.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memerlukan lebih banyak peruntukan bagi industri kelapa sawit dalam meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk komoditi itu dan pengeluaran lebih banyak produk hiliran.

Pengarah Bahagian Sains, Alam Sekitar dan Kemampanan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Ruslan Abdullah berkata, Malaysia menghasilkan sekitar 20 juta tan metrik minyak sawit setiap tahun, ia menghasilkan pendapatan sekitar RM70 bilion untuk Malaysia tetapi peruntukan untuk industri berkenaan sangat kecil.

"Tidak sampai satu peratus pun. Ia tidak adil selepas apa yang dilakukan oleh kami, jangan bercakap mengenai pelaburan tanaman lain seperti durian atau buluh. Minya sawit menghasilkan keuntungan yang tinggi.

"Namun, kami hanya berurusan dengan komoditi sekarang, keuntungan sebenar adalah daripada industri hiliran,” katanya.

Ruslan berkata, apabila melihat syarikat disenarai di Fortune 500, kebanyakan daripada mereka sebenarnya bergantung pada komoditi, bagi Malaysia melakukannya, ia memerlukan lebih banyak dana.

Beliau juga menekankan bahawa negara ini memiliki institusi R&D terbaik di dunia dalam perkara berkaitan keperluan minyak sawit.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, industri minyak sawit adalah salah satu penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia dan industri ini memberi input kepada pelbagai produk hiliran bernilai tambah tinggi dan menyumbang kepada pendapatan eksport negara.

"Bagaimanapun, kami masih menghadapi kekurangan tenaga kerja, kami berharap kerajaan dapat mengatasi masalah ini dan berharap akan wujud inisiatif atau program yang membantu mempercepatkan mekanisme dan automasi di sektor kelapa sawit untuk mengurangi kebergantungan sektor perladangan terhadap tenaga kerja dan membantu meningkatkan produktiviti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bertahun-tahun MPOB melakukan R&D, termasuk cara inovatif untuk menuai dan memproses buah kelapa sawit serta meningkatkan mekanisme, pertanian dan automasi yang tepat.

"Ia telah membangunkan lebih daripada 40 jenis mesin dan peralatan mekanisme untuk penggunaan operasi perladangan termasuk alat penuaian kelapa sawit serta mencari cara untuk meningkatkan prestasi hasil.

“Bagi usaha kemampanan kami dalam industri ini, kami mengharapkan kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk membiayai pekebun kecil untuk mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan perbelanjaan lain yang berkaitan dengan MSPO seperti yuran pensijilan, latihan yang berkaitan dengan MSPO serta peralatan pelindung diri,” katanya.

Ahmad Parveez ketika bercakap mengenai peningkatan dalam permintaan minyak sawit memberitahu kerajaan sewajarnya memberikan peruntukan untuk meningkatkan pelaksanaan program biodiesel bagi sektor pengangkutan dan perindustrian.

Tahun lalu, sektor industri perladangan dan komoditi menyumbang sekitar 12 peratus atau hampir RM100 bilion kepada pendapatan negara, yang mana, RM70 bilion datang daripada industri kelapa sawit.

Semasa pembentangan Belanjawan 2021, kementerian berkaitan hanya menerima peruntukan RM729.39 juta untuk semua komoditi yang merangkumi minyak sawit, getah, koko dan kenaf.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia telah menekankan bahawa kerajaan perlu membenarkan industri ini untuk mengambil 32,000 pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja semasa.

Ramai pekerja asing meninggalkan Malaysia untuk pulang sekitar waktu perintah kawalan pergerakan 1.0, yang berlaku pada Mac 2020.

Sebilangan besar pekerja ini tidak mahu kembali ke Malaysia atau menghadapi masalah untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan bagi bekerja semula dan ini mengakibatkan kekurangan pekerja yang agak serius dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perladangan.

Hasil minyak sawit telah dipengaruhi secara negatif oleh kekurangan pekerja ini sehingga menyebabkan penurunan output KDNK sektor pertanian pada 2020 walaupun harga minyak sawit mentah meningkat.

"Pemulihan dalam situasi kekurangan tenaga kerja juga akan diterjemahkan kepada pendapatan cukai yang lebih tinggi bagi kerajaan, berdasarkan lonjakan dalam pengeluaran," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nageeb Wahab.

Beliau juga mencadangkan harga ambang yang lebih tinggi pada RM3,500 satu tan untuk cukai keuntungan luar biasa (WPT) minyak sawit mentah (MSM) berbanding RM2,500 tan sekarang ini yang dikenakan kepada pekebun.

Sekarang ini, syarikat di Semenanjung dikenakan WPT sebanyak 15 peratus setelah harga MSM mencapai RM2,500 setan atau lebih tinggi, sementara syarikat yang berpusat di Sabah dan Sarawak dikenakan WPT berjumlah 7.5 peratus selepas harga MSM mencecah RM3,000 setan atau lebih tinggi.

Belanjawan 2022 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2021. - Bernama