Jurutera tambah nilai pelancongan desa

SEMPENA Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), seorang jurutera berpengalaman berjaya buktikan inisiatif pelancongan desa yang beliau bangunkan di Kampung Bukit Hijau di sini mampu menarik pelancong sambil merancakkan aktiviti ekonomi penduduk empatan.
Walaupun terletak di kawasan yang agak terpencil, iaitu lebih 50km dari Kuala Lumpur, inap desa yang dikenali sebagai Nusantara Village milik beliau dilengkapi kemudahan moden seperti kolam renang, taman tema air mini serta pelbagai jenis rumah dan bilik yang memenuhi keperluan pelancong terutamanya golongan berkeluarga.
“Ramai pelancong luar dan domestik sebenarnya berminat untuk merasai suasana desa namun mereka juga inginkan keselesaan terutamanya yang datang bersama keluarga,” kata Fakhrul Nazhi Hanaffi, 46, yang turut memiliki beberapa syarikat berkaitan kejuruteraan pembinaan.

Bagi menyokong usaha Kerajaan mempromosi VM2026, jurutera struktur berusia 46 tahun tersebut menggunakan pengalaman beliau selama lebih 16 tahun dalam projek berskala besar untuk membangunkan projek pelancongan desa berteraskan komuniti yang berdaya maju.
Antara perkara yang diberikan tumpuan adalah bilik tidur yang selesa, tandas yang cantik dan bersih serta makanan istimewa termasuk juadah tradisional yang mampu mengembalikan semula kenangan di desa.

Walaupun ada di antara penginapan yang ditawarkan merupakan rumah tradisional yang diperbuat daripada kayu, Fakhrul berkata ia tetap dilengkapi kemudahan bertaraf resort bagi memberi keselesaan kepada para tetamu.
“Seiring dengan trend pada masa ini, kami juga pastikan Nusantara Village mempunyai nilai estetika yang tinggi agar pengunjung dapat merakamkan momen indah di setiap sudut dan berkongsi dalam platform sosial media masing-masing,” katanya yang lebih mesra disapa dengan panggilan Haji Fakhrul.
Beliau berkata fenomena di mana orang ramai sanggup berebut slot tempahan di restoran pempengaruh terkenal untuk menikmati masakan kampung menunjukkan potensi besar untuk konsep yang beliau terapkan di Nusantara Village.

“Di sini pendekatan kami agak berbeza kerana turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk kampung. Selain menyediakan peluang pekerjaan, kami juga membeli bahan mentah seperti ikan dan sayur-sayuran daripada mereka,” katanya.
Lebih menarik, sempena bulan puasa, Nusantara Village turut menawarkan bufet Ramadan istimewa yang menyajikan juadah kampung termasuk siput sedut masak lemak, asam pedas dan gulai tempoyak ikan patin.
“Bufet Ramadan kami juga menyediakan kuih-muih tradisional yang dibekalkan oleh penduduk kampung seperti kole kacang, seri muka, kuih koci dan kuih lapis.
"Oleh kerana penduduk kampung masih mengekalkan cara penyediaan tradisional, rasanya sudah tentu lebih asli dan enak,” kata Fakhrul yang amat meminati juadah kampung.
Selain hospitaliti dan makanan, lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari UiTM dan Sarjana Kejuruteraan Struktur UTM itu turut mengetengahkan elemen eko-pelancongan di Nusantara Village, termasuk membangunkan ladang “Golden Melon” berasaskan teknik hidroponik.
“Selain berkongsi kepakaran dengan penduduk kampung, kita juga mahu tetamu di Nusantara Village diberi pendedahan kepada pertanian moden, keselamatan makanan dan nilai komersial hasil tempatan,” katanya yang turut membuka dapur pizza citarasa tempatan di Nusantara Village.
Bapa bapa kepada enam anak tersebut berkata beliau amat bertuah kerana turut dibantu isteri, Farah Wahida Othman, 46, yang memegang jawatan sebagai Pengurus Pentadbiran dan Kewangan.
Selain Nusantara Village, pasangan tersebut turut mengendalikan rumah inap desa di Setia Alam, Batu Pahat dan Muar yang turut memberikan fokus terhadap keselesaan kepada tetamu.
“Saya yakin, gabungan elemen desa dan kemudahan bertaraf resort yang diperkenalkan pihak kami mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara di sampling memberi peluang pelancong asing merasai pengalaman bercuti di desa,” katanya.
Mengulas mengenai laporan media melaporkan kini menjadi trend rakyat Malaysia memilih untuk bercuti ke luar negara, khususnya ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang mana Thailand dilaporkan menerima lebih 31 juta pelawat asing pada 2025 dengan rakyat Malaysia antara penyumbang utama dan Indonesia turut merekodkan jutaan pelawat dari Malaysia dalam tempoh sama.
Fakhrul berkata, trend tersebut perlu ditangani kerana ia menyebabkan pengaliran ringgit ke luar negara, sedangkan negara sendiri mempunyai potensi besar untuk menawarkan pengalaman yang setara dari segi nilai dan kepuasan.
Ringkasan AI
- SEMPENA Tahun Melawat Malaysia 2026, jurutera membuktikan inisiatif pelancongan desa di Kampung Bukit Hijau tarik pelancong dan merancak ekonomi
- Nusantara Village tawar kemudahan moden seperti kolam renang, taman tema air mini untuk pelancong, terutamanya golongan berkeluarga
- Fokus kepada keperluan pelancong dengan menawarkan bilik tidur yang selesa, makanan istimewa, dan juadah tradisional
- Nusantara Village mempunyai nilai estetika tinggi untuk menarik pengunjung berkongsi momen di media sosial
- Projek ini juga beri peluang ekonomi kepada penduduk kampung, termasuk menjual produk tempatan dan menyediakan pekerjaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
