SMC catat pembedahan tulang belakang robotik ke-100

BANDAR SUNWAY – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, mencatat pembedahan tulang belakang robotik Suite Pembedahan Robotik Tulang Belakang AiBLE™ yang ke-100.
Teknologi yang dilancarkan di SMC pada Februari 2025 itu merupakan generasi baharu sistem sokongan berpandukan robotik untuk pembedahan tulang belakang yang memberikan ketepatan, konsistensi dan kecekapan.
Pencapaian ini membuktikan minat klinikal yang tinggi sekali gus mengukuhkan kedudukan SMC sebagai antara pengguna awal AiBLE™ di Malaysia dan Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr Seow Vei Ken berkata, pembedahan tulang belakang robotik ke-100 ini merupakan bukti kebolehan, kolaborasi dan kemajuan teknologi yang dicapai oleh pasukan pelbagai disiplin di Pusat Pembedahan Robotik dan Pembedahan Invasif Minimum hospital berkenaan.
“AiBLE™ yang diintegrasikan dengan sistem pengimejan MRI dan CT terbaharu membantu kami meningkatkan lagi kelengkapan yang tersedia untuk pakar klinikal dalam merawat kes tulang belakang yang kompleks.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen pasukan SMC dan kami akan memperkukuh asas tersebut demi meneruskan kemajuan inovasi, kecemerlangan klinikal serta pengalaman pesakit yang positif,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, suite ini digunakan untuk menyokong perancangan pembedahan serta navigasi semasa prosedur tulang belakang.
“Dengan penyelesaian tulang belakang bersepadu ini, pakar bedah dilengkapi dengan perancangan tiga dimensi yang terperinci sebelum pembedahan dan panduan masa nyata semasa prosedur.
“AiBLE™ juga direka untuk meningkatkan ketepatan penempatan implan secara invasif minimum, mengurangkan komplikasi intraoperatif dan pascapembedahan serta mengurangkan pendedahan radiasi,” katanya.
Tambahnya, AiBLE™ adalah sebahagian daripada inisiatif SMC untuk terus meningkatkan akses kepada penjagaan tulang belakang berkualiti bagi rakyat Malaysia.
Selaras dengan pencapaian ini, SMC baru-baru ini diiktiraf dalam ranking Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek, apabila disenaraikan di peringkat antarabangsa dan menduduki kedudukan teratas di Malaysia.
Senarai tersebut mengiktiraf hospital yang menerajui penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengimejan digital dan robotik bagi meningkatkan penjagaan pesakit.
SMC turut meraikan pencapaian tersebut serta mengetengahkan peranan teknologi dalam meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.
SMC juga merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang mencapai tiga akreditasi utama di peringkat hospital iaitu The Gold Seal of Approval daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Australia (ACHSI) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).
Ringkasan AI
- Pusat Perubatan Sunway mencatat pembedahan tulang belakang robotik ke-100 dengan teknologi AiBLE
- Teknologi AiBLE merupakan sokongan berpandukan robotik untuk pembedahan tulang belakang yang meningkatkan ketepatan dan kecekapan
- SMC memperkenalkan teknologi ini di Malaysia dan Asia Tenggara, menegaskan posisi sebagai pengguna awal
- AiBLE diintegrasikan dengan sistem pengimejan MRI dan CT, membantu dalam perawatan kes tulang belakang yang kompleks
- SMC diakui dalam ranking Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek, menandakan kemajuan dalam penggunaan teknologi bagi penjagaan pesakit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

