CelcomDigi raih untung bersih RM1.51 bilion, umum dividen akhir 3.6 sen

CELCOMDIGI Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi pada RM1.51 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025) berbanding RM1.38 bilion, setahun lepas.
Menurut kenyataan penyedia perkhidmatan telekomunikasi kepada Bursa Malaysia pada Rabu, peningkatan keuntungan itu didorong oleh kos susut nilai, pelunasan dan rosot nilai lebih rendah berikutan penamatan sepenuhnya rangkaian serta susut nilai aset hak guna setakat Disember 2024.
Perolehan hasil meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada RM12.96 bilion berbanding RM12.68 bilion sebelum ini yang disumbangkan terutamanya oleh peningkatan jualan peranti yang dipengaruhi oleh faktor-faktor bermusim.
Segmen fiber rumah menyaksikan peningkatan pelanggan sebanyak 9.8 peratus kepada 315,000 orang manakala pelanggan pascabayar mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 78,000 orang.
Peningkatan perolehan hasil itu turut disokong oleh peningkatan perkhidmatan internet dan penyelesaian IT, kata syarikat itu.
Selain itu, jumlah kos meningkat sebanyak 14.6 peratus disebabkan terutamanya oleh peningkatan kos peranti yang selaras dengan pengukuhan permintaan bermusim serta peningkatan perkhidmatan internet dan penyelesaian teknologi maklumat (IT).
Berikutan itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak RM59 juta atau 4.4 peratus.
Bagaimanapun, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) susut sebanyak RM56 juta atau 8.6 peratus berikutan caj susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi.
Menurut CelcomDigi, keuntungan bersih bagi tempoh suku keempat (S4 2025) meningkat kepada RM349.59 juta daripada RM158.28 juta manakala hasil juga menokok kepada RM3.45 bilion daripada RM3.28 bilion bagi tempoh sama sebelum ini.
Dalam kenyataan berasingan, syarikat itu turut berkongsi mengenai usaha pemodenan dan integrasi rangkaian yang melepasi tahap 90 peratus siap dengan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan lebih baik di kawasan yang sudah dinaik taraf.
Usaha penyatuan sistem IT juga berjaya disiapkan sebanyak 80 peratus yang dapat dilihat menerusi kejayaan peralihan naik taraf sistem pengurusan saluran pada S4 2025.
"Fasa akhir perancangan sumber perusahaan (ERP) dan sistem pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) sedang dilaksanakan dan lancar mengikut jadual untuk siap sepenuhnya pada awal 2027," menurut syarikat itu.
Bagi segmen runcit, lebih 60 premis CelcomDigi melalui pemodenan manakala usaha menaiktaraf lebih 300 premis rakan eksklusif kini dua pertiga atau hampir siap.
Dalam pada itu, CelcomDigi turut mendapat sambutan baik bagi CelcomDigi App baharu dengan lebih 5.5 juta pengguna berdaftar bagi tempoh tiga bulan pertama setakat akhir 2025.
Selain itu, syarikat berkenaan turut mengakhiri 2025 dengan mencatat sebanyak 20.6 juta pelanggan.
CelcomDigi mengumumkan dividen akhir sebanyak 3.6 sen sesaham atau dividen keseluruhan bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 14.7 sen sesaham yang seiringan dengan komitmen dividen mampan kepada pemegang saham syarikat berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- CELCOMDIGI Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi pada RM1.51 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025
- Kenaikan keuntungan berbanding RM1.38 bilion, setahun lepas
- Peningkatan keuntungan disebabkan oleh kos susut nilai yang lebih rendah
- Perolehan hasil meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada RM12.96 bilion
- Peningkatan hasil disumbangkan oleh peningkatan jualan peranti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
