'Jual istana lama bukan keputusan saya seorang'

Tapak Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan.Gambar kecil: Ahmad Faizal
Tapak Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan.Gambar kecil: Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Keputusan untuk menjual tapak Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan bukan keputusan berseorangan, kata Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, biarpun keputusan itu dibuat ketika beliau menjadi Menteri Besar, namun ia dipersetujui semua Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak termasuk Menteri Besar ketika ini, Datuk Saarani Mohamad.

Menurutnya, tidak wajar untuk menuduh orang lain membuat keputusan sedangkan tiada bantahan diterima.

"Saya harap kerajaan sekarang pun jangan kata saya buat keputusan seorang, awak pun duduk dalam mesyuarat. Kita buat keputusan secara bersama. Jadi jangan tuduh orang lain kerana keputusan secara bersama.

"Apakah waktu kita di dalam kerajaan kita tak bersetuju sesuatu perkara itu kita diam, itu tidak bertanggungjawab. Ketika itu tiada bantahan dan kita telah lalui semua perkara, banyak perkara yang saya tak perlu nak dedahkan, semua pihak dimaklumkan dan dipersetujui," katanya kepada pemberita selepas menziarahi sebuah keluarga susah di Kampung Manjoi di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ahmad Faizal bersetuju agar bangunan istana lama yang dianggap sebagai warisan itu dipulihara.

Menurutnya, tender yang dikeluarkan adalah untuk membangunkan kawasan sekitar bangunan istana lama itu dan bukan merobohkan bangunan tersebut.

Katanya, keputusan dibuat melalui proses yang betul dan tiada sebarang bantahan diterima daripada orang ramai ketika itu sehinggalah tender tersebut dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat bersetuju bangunan itu perlu dipulihara dan ditambah baik, tetapi di sekelilingnya boleh dibangunkan supaya boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat.

"Jadi kalau kita ada cadangan lain, Alhamdulillah kalau kerajaan ada duit nak buat, tetapi dalam masa sama saya harap usaha untuk menjaga memulihara bangunan warisan itu perlu dijaga, pembangunan untuk rakyat perlu diutamakan juga. Jadi ia mesti berjalan dengan seiring," katanya.

Saarani pada 19 September memaklumkan kerajaan negeri akan melihat semula isu berhubung jualan secara tender terbuka kawasan bangunan istana lama yang dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berikutan keputusan itu dibuat tahun lalu.

Bagaimanapun pada 22 September, kerajaan negeri Perak bersetuju menangguhkan penjualan secara tender terbuka tanah Istana Raja Muda Perak itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Isu jual Istana Raja Muda: Saarani perlu bertanggungjawab

ARTIKEL BERKAITAN:Istana lama wajar dipulihara demi nilai sejarah