Isu jual Istana Raja Muda: Saarani perlu bertanggungjawab

Istana Raja Muda Perak
Istana Raja Muda Perak
A
A
A

IPOH - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Perak menggesa Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk bertanggungjawab terhadap penjualan tanah Istana Raja Muda Perak.

Ketua Pejuang Muda Perak, Syahrul Bokhairi Mohamad Saufee berkata, kerajaan negeri yang ada kini tidak boleh dengan mudah menyalahkan kerajaan terdahulu mengambil keputusan menjual tanah tersebut.

Menurutnya, keputusan kerajaan negeri untuk menjual bangunan dan tapak Istana Raja Muda itu bukan satu keputusan yang ideal bagi sebuah negeri yang kaya dengan nilai sejarah perjuangan bangsa Melayu.

"Umum mengetahui bahawa Saarani adalah Exco Perak di dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini dan sebagai sebahagian daripada anggota eksekutif kerajaan negeri, sudah tentu beliau perlu bertanggungjawab di atas semangat collective responsibility yang membenarkan apa sahaja keputusan seumpama itu dibuat.

"Pejuang Muda Perak menyarankan agar rakyat terus menyuarakan kegusaran dan bantahan terhadap keputusan penjualan tanah istana ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan akhbar Pejuang Muda Perak pada Rabu mengenai penjualan tanah Istana Raja Muda Perak.
Kenyataan akhbar Pejuang Muda Perak pada Rabu mengenai penjualan tanah Istana Raja Muda Perak.

Menurutnya, Istana Raja Muda satu ketika dahulu pernah dilihat sebagai lambang kedaulatan bangsa yang menjadi saksi perkembangan jatuh bangun era Kesultanan Melayu Perak yang amat dekat di hati masyarakat Melayu.

Syahrul Bokhairi berkata, berbanding melepaskan pegangan tanah berkenaan untuk tujuan pembangunan projek komersial, istana yang terletak hanya beberapa kilometer dari Menara Condong Teluk Intan sewajarnya dipulihara dan dijadikan destinasi pelancongan serta tempat kajian sejarah bagi masyarakat muda generasi demi generasi yang akan datang.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jika keadaan memerlukan, kerabat dan keturunan istana dirayu supaya tampil untuk bersama-sama menyelamatkan pegangan tanah ini supaya ia kekal milik rakyat Perak.

Pada 19 September lalu, Saarani menjelaskan kerajaan negeri akan melihat semula isu berhubung jualan secara tender terbuka kawasan bangunan istana lama yang dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) berikutan keputusan itu dibuat tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Perak bincang semula isu jual istana lama