Istana lama wajar dipulihara demi nilai sejarah

Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.
Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.
A
A
A

IPOH - Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak menyambut baik keputusan kerajaan menangguhkan proses tender terbuka bagi penjualan tapak Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan.

Setiausahanya, Iskandar Zulqarnain Zaheruddin berkata, penangguhan bagi menjalankan kajian terperinci itu perlu diraikan dengan berharap kerajaan dapat membangunkan kembali istana berkenaan dengan mengekalkan reka bentuk asal.

Menurutnya, dengan langkah tersebut, istana lama itu akan berfungsi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat di sini.

"Mewakili Jejak Warisan Teluk Intan dan Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak, kami menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Perak yang mendengar suara rakyat atas bantahan terhadap penjualan Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan.

"Ini selari dengan status tanah warisan sejarah tersebut yang perlu dipertahankan dan diberi fungsi baru yang membawa manfaat kepada orang ramai di sini. Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan tersebut merupakan lambang bagi institusi diraja di sini dan perlu dikekalkan begitu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iskandar Zulqarnain berkata, kedudukan istana lama yang sangat strategik itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan wajar dipulihara seperti beberapa istana lama yang lain seperti Istana Bandar di Banting, Selangor dipulihara demi nilai sejarahnya.

Katanya, begitu juga dengan Istana Kampung Gelam di Singapura yang berubah wajah menjadi Pusat Warisan untuk pelancongan dengan mengekalkan bangunan Istana tersebut.

Sementara itu, beliau kesal tidak menerima sebarang pemakluman mengenai sesi pendengaran awam yang dibuat Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak untuk membatalkan perizaban kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kami memang tidak mengetahui mengenai pendengaran awam itu kerana tidak diuar-uarkan. Jika benar ada, sudah tentu ramai yang akan turut serta.

"Ramai yang akan membantah usaha melupuskan tanah warisan tersebut," katanya.

Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak sebelum ini antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menjual tanah tersebut bagi tujuan komersial.

Pada Rabu, kerajaan Perak bersetuju menangguhkan penjualan secara tender terbuka tanah Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, keputusan itu dipersetujui di dalam mesyuarat Exco pada Rabu.