Menyamar polis sebelum samun warga asing

Noorzainy (dua,kiri) menunjukkan pistol palsu yang dirampas daripada suspek.
Noorzainy (dua,kiri) menunjukkan pistol palsu yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

KEPALA BATAS - Menyamar sebagai anggota polis dan menjadikan warga asing sebagai sasaran.

Itu modus operadi digunakan dua lelaki yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun di sekitar Butterworth sejak Oktober tahun lalu.

Mereka dikatakan akan menahan kumpulan warga asing dan kononnya mahu membuat pemeriksaan sebelum bertindak melarikan pelbagai barangan berharga dan wang tunai milik mangsa.

Bagaimanapun perbuatan jahat mereka berjaya dikesan polis dalam satu kejadian samun yang berlaku di kawasan Kampung Baru berhampiran Taman Cempaka Sari, Butterworth pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, dua anggota polis dari Balai Polis Komuniti Mak Mandin berjaya mengesan perbuatan kedua-dua suspek yang dilihat cuba menyamun dua lelaki warga asing di kawasan tepi jalan.

Menyedari kehadiran anggota polis dua suspek berkenaan cuba meloloskan diri dengan menaiki sebuah motosikal menuju ke arah jalan belakang bendang di kawasan Pekan Darat.

"Salah seorang daripada suspek bertindak terjun daripada motosikal dan melarikan diri ke kawasan gelap manakala seorang lagi suspek memecut motosikalnya ke arah jalan besar Pekan Darat.

"Cubaan suspek yang menaiki motosikal untuk meloloskan diri gagal apabila dia berlanggar dengan sebuah motosikal lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Pakan Darat dan akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan di bahagian pinggang, patah jari tangan selain luka di bahagian lutut sebelah kiri," katanya pada sidang media di sini pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, semakan yang dibuat mendapati suspek yang berusia 25 tahun itu mempunyai enam rekod lampau melibatkan dua kes jenayah dan empat kesalahan dadah.

Katanya, turut dirampas daripada suspek berkenaan sebilah pisau bersarung hitam, sepucuk pistol tiruan yang dipercayai digunakan untuk memeras ugut mangsa mereka.

"Turut ditemui tiga utas jam tangan, dua buah telefon bimbit, satu beg duit dan beberapa kad serta salinan pasport dipercayai milik mangsa samun.

"Polis turut merampas motosikal jenis Yamaha Lagenda dan topi keledar yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati suspek mengakui telah terlibat dalam enam kes samun yang membabitkan warga asing dengan menggunakan senjata pistol mainan.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut dan polis kini sedang giat memburu rakan suspek yang berjaya meloloskan diri dan dikenali sebagai Alif.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.