Gelembung pelancongan Langkawi diharap capai matlamat

Pulau Langkawi. Gambar kecil: Muhammad Sanusi
Pulau Langkawi. Gambar kecil: Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Program perintis gelembung pelancongan Langkawi diharap berjaya mencapai matlamat untuk merancakkan kembali sektor pelancongan khususnya di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya berharap prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dilaksanakan memberi kesan positif selain dapat mengekang tercetusnya kluster baharu yang berpunca daripada aktiviti pelancongan.

Menurutnya, SOP yang dilaksanakan setakat ini memuaskan berikutan setelah seminggu Langkawi dibuka kepada pelancong, tidak terdapat kes positif Covid-19 di kalangan pelancong.

“Saya bersyukur tiada jangkitan Covid-19 yang berpunca daripada pelancong kerana itulah kebimbangan orang ramai, sama ada bawa masuk jangkitan atau bawa keluar. Sehingga hari ini, kes jangkitan di Langkawi adalah kes tempatan.

"Saya berharap gelembung pelancongan ini dapat mencapai matlamatnya untuk kembali hidupkan sektor pelancongan Kedah mahupun negara," katanya pada sidang akhbar secara maya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan pada Khamis.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menghargai khidmat semua petugas barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) yang bekerjasama sepenuhnya bagi memastikan kejayaan gelembung pelancongan.

Pada sesi penggulungan DUN Kedah sebelum itu, Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad memaklumkan, kejayaan gelembung pelancongan Langkawi bakal memberi indikasi sektor pelancongan di Kedah tetap mendapat sambutan pelancong walaupun berdepan SOP ketat yang ditetapkan.

“Kita amat serius soal pematuhan SOP, selain akan pastikan semua pemain industri pelancongan menambah baik perkhidmatan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Semua pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan juga perlu bersedia untuk menerima kehadiran pelancong apabila pintu pelancongan dibuka sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kedah Tourism telah merangka strategi bagi menyediakan sektor pelancongan dibuka semula sejak setahun lalu.

“Perbincangan bersama pemain industri dilakukan secara konsisten bagi mencari kaedah berkesan untuk pelaksanaan gelembung pelancongan, kita bersedia menerima idea dan cadangan bernas dari mana-mana pihak untuk penambahbaikan sektor pelancongan,” katanya.

Katanya, industri pelancongan akan sentiasa diberikan perhatian khusus memandangkan ia disifatkan telah ‘mati’ sejak negara dilanda pandemik Covid-19.