X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Golongan agama enggan divaksin berdepan tindakan tegas: MAIS

MAIS memandang serius berhubung perkara itu kerana terdapat sejumlah besar daripada golongan berkenaan berada di bawah seliaan MAIS sebagai pihak berkuasa utama berhubung pentadbiran agama Islam, selepas Sultan Selangor. Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), Anggota Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau serta Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang masih berdegil tidak mahu mengambil vaksin Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, MAIS sentiasa menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berdukacita kerana hanya 203 orang daripada 873 orang daripada kalangan mereka mengambil suntikan pada sesi program vaksinasi khas, 'Covid-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)' di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Rabu.

Justeru tegas beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang dilantik oleh pihak MAIS mengikut lunas undang-undang.

"Pihak MAIS juga akan memberi kerjasama dan bantuan kepada kerajaan negeri Selangor untuk memastikan tindakan tegas juga diambil terhadap individu yang dilantik oleh kerajaan negeri.

"MAIS juga ingin menegaskan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 9 Februari lalu telah memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Abdul Aziz berkata, keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa itu juga selaras dengan Maqasid Syariah dalam Islam iaitu hifzu al-nafs, memelihara nyawa.

Kata beliau, umat Islam disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan ancaman atau kebinasaan kepada diri atau nyawa seseorang adalah diharamkan.

Jelas beliau, MAIS turut kecewa dengan tindakan individu yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak JAIS.

"MAIS memandang serius berhubung perkara itu kerana terdapat sejumlah besar daripada golongan berkenaan berada di bawah seliaan MAIS sebagai pihak berkuasa utama berhubung pentadbiran agama Islam, selepas Sultan Selangor.

"Kegagalan atau keengganan individu untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 akan menyebabkan hasrat untuk mendapatkan perlindungan imuniti kelompok gagal dilaksanakan dan mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat apatah lagi individu terbabit menjalankan tugas yang melibatkan penglibatan masyarakat di masjid dan surau serta sekolah termasuk golongan warga emas dan pelajar sekolah," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, pihak terbabit diingatkan mematuhi arahan untuk mengambil vaksin Covid-19 seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor dan arahan yang dikeluarkan oleh MAIS dan JAIS.

"Menurut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, perbuatan mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam atau arahan MAIS atau fatwa yang diberikan oleh mufti adalah merupakan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"MAIS menggesa kepada semua masyarakat Islam di negeri ini untuk mengambil tindakan bersama dengan mengambil suntikan vaksin Covid-19 seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memerangi penularan pandemik dan seterusnya melancarkan lagi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!