Tak baik tukar kerajaan 'di tengah jalan' - Mohamad Sabu

Mohamad (empat dari kiri) bersama pimpinan Amanah menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Amanah di Bayan Lepas, pada Ahad.
Mohamad (empat dari kiri) bersama pimpinan Amanah menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Amanah di Bayan Lepas, pada Ahad.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Cubaan pihak tertentu yang mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak wajar dan tidak baik.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, mereka yang tidak bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan boleh menukar kerajaan melalui pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, mereka yang tidak berpuas hati boleh mengkritik dan berkempen kepada orang ramai selain membongkar kelemahan kerajaan namun perlu guna saluran yang betul untuk menukar kerajaan.

"Kalau ada kelemahan kami, bongkarkan buat la apa program...kalau rakyat terima, jatuhkan kami pada pilihan raya yang akan datang.

"Itu cara yang paling baik, tetapi kalau cukup bilangan kita tak boleh buat apa-apa," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Amanah di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pihak pembangkang supaya membawa usul tidak percaya di Parlimen pada sidang akan datang.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau bukan Perdana Menteri seperti sebelum ini yang mengelak untuk berdepan dan berentap dalam soal siapa mempunyai keabsahan di Parlimen.

Beliau turut sedia berdepan usul berkenaan dalam sidang Parlimen pada bulan Mei ini dan tidak akan mengelakkan sebarang usul dibawa oleh pembangkang.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, beliau bersetuju dengan pendirian Anwar mencabar mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai akaun bersumpah (SD) mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu dan menjatuhkan kerajaan sedia ada ke Parlimen.