Kerajaan bukan taman permainan atau sarkas, kata Najib

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang melaporkan bahawa pelaburan terus asing (FDI) naik 350 peratus untuk sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.

Beliau turut menyifatkan laporan tersebut sebagai sesuatu yang pelik kerana menurut laporan media perkara sebaliknya yang berlaku.

“Dia (Guan Eng) memuji kerajaan PH atas kejayaan untuk lima bulan ini (Mei sehingga September).

“Saya amat pelik sebenarnya.Tiap-tiap hari kita baca laporan media bahawa rizab antarabangsa negara semakin susut, unjuran ekonomi negara terus diturunkan, Ringgit semakin jatuh nilainya, indeks bursa jatuh dengan pengaliran keluar dana asing dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi merosot untuk suku kedua dan suku ketiga,” katanya melalui kenyataan yang dimuatnaik di Facebook miliknya, hari ini.

Jelasnya, menurut laporan rasmi FDI dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Statistik Negara menunjukkan kejatuhan teruk bagi sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.

“Angka rasmi dan sahih tunjukkan FDI jatuh tiga kali ganda dan bukannya naik tiga kali ganda sebagaimana diumum Guan Eng.

“FDI untuk suku pertama yang tinggi pun sudah menjunam turun bagi suku ke-2 dan suku ke-3,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mempertikaikan kredibiliti Guan Eng sebagai seorang menteri.

“Adakah Guan Eng terus menipu ataupun agensi-agensi rasmi kerajaan tersalah lapor? Atau sebagaimana pada masa lalu, Guan Eng hanya pandai ‘main hantam’ sahaja?
Artikel Berkaitan:


“Guan Eng perlu tahu bahawa laporan kedudukan ekonomi bukan manifesto pilihan raya yang boleh ditemberang atau ditipu dengan mudah. Ini sebuah kerajaan, bukan taman permainan atau sarkas,” katanya.