Tak perlu tunggu janji temu MySejahtera

Saarani ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Saarani ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Penduduk berusia 18 tahun ke atas di negeri Perak yang belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 digesa datang terus ke mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebanyak 22 PPV yang menyediakan perkhidmatan itu di semua daerah di negeri ini.

Menurutnya, mereka tidak perlu lagi menunggu janji temu menerusi aplikasi MySejahtera tetapi terus ke PPV yang ada.

"Berdasarkan maklum balas yang diterima masih ada penduduk kecewa kerana belum mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera tanpa mengetahui bahawa mereka boleh mendapatkan vaksin secara jumpa terus di PPV berkenaan.

"Pemberian vaksin secara jumpa terus akan dilaksanakan sehingga 31 Oktober ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, setakat 20 September, seramai 1.55 juta atau 85.7 peratus penduduk Perak berusia 18 tahun ke atas menerima satu dos vaksin.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri menerima taklimat daripada Gas Malaysia bagi membina jaringan paip gas asli sejauh 62 kilometer (km) dari Kampung Kuala Bikam, Bidor ke Proton City, Tanjung Malim yang bernilai RM105 juta.

Menurutnya, projek tersebut bukan sahaja mampu mempercepatkan pertumbuhan industri automatif di Tanjung Malim, tetapi turut memberi limpahan manfaat kepada sekurang-kurangnya lapan kawasan industri di sekitarnya selain berpotensi menarik pelaburan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Gas Malaysia Berhad dengan kerjasama Invest Perak, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah dan tanah juga sedang mengenal pasti jenis-jenis kluster industri di kawasan berkenaan yang berpotensi sebagai prospek penggunaan masa hadapan.

"Sekiranya dilaksanakan kelak, ia akan memperkukuhkan jaringan paip gas asli di negeri Perak yang kini kini sudah mempunyai lima jaringan gas asli iaitu di Parit Buntar sejauh 8km, di Taiping (46km), di Sitiawan (38km) di Teluk Intan (27km) dan di Lembah Kinta (140km)," katanya.

Katanya, kerajaan negeri bersama Gas Malaysia sedang mendapatkan kelulusan daripada pihak Suruhanjaya Tenaga bagi pelaksanaan projek berkenaan.