Trauma saksi kemalangan maut, Meganathan terima sumbangan

KLANG – Penghantar notis Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Meganathan Ariginam yang mengalami trauma selepas menyaksikan kemalangan maut di Jalan Raya Barat di sini baru-baru ini menerima sumbangan bagi meringankan beban ditanggungnya.
Sumbangan itu disampaikan Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan kakitangan yang terkesan akibat insiden berkenaan.
Menurut Abd Hamid, tindakan Meganathan ketika berdepan situasi cemas itu mencerminkan nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap keselamatan orang lain.
“Tindakan beliau mencerminkan nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap keselamatan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Meganathan menjadi perhatian selepas bertindak memperlahankan kenderaannya bagi mengelakkan mangsa kemalangan yang tercampak ke atas bumbung keretanya daripada terjatuh ke jalan raya.
Dalam kejadian itu, mangsa, Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Insiden berkenaan meninggalkan kesan trauma mendalam kepada Meganathan sehingga mengganggu tidurnya, selain menyebabkan dia fobia untuk memandu.
Selain berdepan tekanan emosi, Meganathan turut menanggung beban kewangan apabila kereta Perodua Myvi dipandunya mengalami kerosakan, sedangkan kenderaan itu hanya dilindungi insurans pihak ketiga.
Sementara itu, MBDK memaklumkan, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban Meganathan, selain memberikan sokongan moral kepadanya untuk menghadapi situasi sukar tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

