Pemilihan semula UMNO Bahagian JB tak perlu tergesa-gesa

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU – Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah menyifatkan pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru, tidak perlu dilakukan semula dalam keadaan tergesa-gesa setelah ia ditangguhkan sejak 18 Mac lalu.

Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga calon Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, penangguhan berkenaan bagaimanapun tidak memberikan kesan atau menjejaskan mana-mana pihak sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri termasuk di peringkat pusat.

“Perkara ini (pemilihan) tak perlu kita buat secara tergesa-gesa dan bagi saya perkara ini seperti tarikh pemilihan semula wajar diserahkan kepada Pengerusi Pergerakan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi menentukan tarikh dan masa yang sesuai.

"Tidak perlu tergesa-gesa kerana ia tidak jejaskan operasi parti, termasuklah di peringkat pusat hanya kerana satu bahagian tertangguh, malahan Pemangku Ketua Bahagian iaitu Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga menjalankan tanggungjawab beliau dengan baik ketika ini.

"Oleh itu, walaupun saya mempunyai jawatan selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, namun saya tetap menghormati institusi yang diberikan tanggungjawab untuk melaksana pemilihan semula, jadi tidak perlu buat kenyataan awal berhubung perkara itu,” katanya.

Untuk rekod, baru-baru ini, seorang lagi calon Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar dilaporkan menggesa agar pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru dilakukan segera berikutan hanya Bahagian Johor Bahru yang masih tertangguh berbanding kesemua bahagian lain yang telah selesai mengadakan pemilihan semula.

Sementara itu, Mohd Hairi yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri dan ADUN Larkin, menegaskan fokusnya kini adalah untuk melaksanakan tanggungjawab selaku exco kerajaan negeri dan wakil rakyat.

Katanya, dia akan menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua UMNO Bahagian setelah tarikh baharu pemilihan diumumkan kelak.

“Ketika ini fokus saya adalah untuk menjalankan tanggungjawab selaku wakil rakyat dan bukan berkempen... bila dah umum tarikh baharu (pemilihan), barulah saya akan tawarkan diri sebagai calon (Ketua Bahagian),” katanya.