KPDN Pahang bongkar kegiatan disyaki salah guna fleet card diesel di Pekan

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang mengesan kegiatan disyaki menyalahgunakan kemudahan fleet card bagi pembelian diesel serta melanggar syarat permit penyimpanan di sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit di sini dalam satu operasi pada Khamis.
Pengarah KPDN Negeri Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa susulan aduan dan maklumat risikan yang diterima.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan cecair petroleum yang disyaki minyak diesel daripada tangki sebuah lori ke tempat penyimpanan di kawasan kilang.
"Siasatan awal mendapati diesel tersebut dipercayai diperoleh melalui pembelian di beberapa stesen minyak sebelum dibawa ke premis berkenaan, sekali gus menimbulkan syak berhubung kemungkinan penyalahgunaan kemudahan fleet card.
"Pemeriksaan lanjut mendapati pihak kilang mempunyai permit penyimpanan diesel yang masih sah.
"Bagaimanapun, kaedah perolehan dan penerimaan bekalan serta pengurusan rekod stok disyaki tidak mematuhi syarat permit dan peraturan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
![Pegawai penguat kuasa KPDN menyemak dokumen dan rekod stok bersama pihak pengurusan premis serta pengendali kenderaan susulan tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Foto KPDN Pahang.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/11/06/3701933.webp)
Beliau memberitahu, susulan itu, KPDN Pahang telah mengambil dua tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), masing-masing membabitkan pihak pengendali lori dan premis kilang berkenaan.
Jezlily menambah, kira-kira 2,000 liter cecair petroleum yang disyaki minyak diesel, sebuah motolori bersama treler serta peralatan berkaitan dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan hampir RM230,000.
"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengesahkan sumber bekalan, kemungkinan penyalahgunaan fleet card serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, " katanya.

Dalam pada itu, Jezlily memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam aktiviti penyimpanan, pengedaran atau urus niaga barang kawalan berjadual yang melanggar peruntukan undang-undang.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan bekalan barang kawalan di negeri ini sentiasa terpelihara dan tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Mana-mana orang yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan atau pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN diseru menyalurkan maklumat dan aduan yang lengkap, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

