Berpakaian hanfu, pelajar teruja terima vaksin

Bryan berkongsi rasa teruja menerima suntikan vaksin dengan mengenakan hanfu hadir ke PPV Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah pada Selasa.
Bryan berkongsi rasa teruja menerima suntikan vaksin dengan mengenakan hanfu hadir ke PPV Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah pada Selasa.
A
A
A

BATU GAJAH - Perasaan teruja menerima suntikan vaksin Covid-19 mendorong seorang pelajar Tingkatan Lima hadir dengan busana kebudayaan masyarakat Cina di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Bandaran Kinta di sini.

Bryan Ng Chee Hong, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tronoh mengenakan hanfu bagi memeriahkan festival kuih bulan yang disambut pada Selasa.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui sudah menyimpan hasrat untuk menggayakan busana itu ke PPV selepas mendapat tahu janji temu vaksin yang diaturkan pengurusan sekolah.

"Saya jadi teruja selepas tengok perkongsian di laman sosial, ramai yang datang ke PPV sebelum ini memakai kostum dan baju kebudayaan.

Proses vaksinasi di PPV Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah bagi PICK Remaja pada Selasa membabitkan 1,500 pelajar yang datang secara janji temu dan jumpa terus (walk in).
Proses vaksinasi di PPV Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah bagi PICK Remaja pada Selasa membabitkan 1,500 pelajar yang datang secara janji temu dan jumpa terus (walk in).

"Sebab itu, saya pilih untuk mengenakan pakaian tradisional hari ini. Ini kali pertama saya pakai hanfu, rasa seronok kerana dapat berkongsi pengalaman dan suasana dengan rakan-rakan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bryan antara kumpulan pertama pelajar dari sekolah di daerah Batu Gajah yang menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Bandaran Kinta di sini di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Proses vaksinasi khusus untuk pelajar Tingkatan Empat dan Lima itu membabitkan 1,500 pelajar yang datang secara janji temu dan jumpa terus (walk in) sempena sesi pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini.

Janani
Janani

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), S Janani, 18, berkata, suntikan vaksin yang diterima ini umpama pelindung diri untuk mereka kembali menghadapi sesi pembelajaran bersemuka di sekolah.

Anak sulung daripada empat beradik itu lebih selesa belajar di dalam kelas dengan kehadiran guru kerana ia mudah difahami berbanding sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Ada rasa takut sikit nak cucuk, tetapi saya gembira dan lega kerana selepas ini saya dapat melakukan aktiviti harian dengan rasa lebih selamat, paling penting dapat belajar secara bersemuka dengan guru dan rakan-rakan di sekolah," katanya.

Muhammad Amir
Muhammad Amir

Muhammad Amir Dinie Khalil, 17, dari Sekolah Seni Malaysia Perak berkata, pemberian vaksin untuk pelajar memang sesuatu yang ditunggu-tunggu kerana membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan rasa lebih terjamin dan selamat.

Katanya, sejak pandemik Covid-19, golongan itu hanya banyak menghabiskan masa di rumah dan tidak bebas bergerak kerana tidak lengkap vaksin sepertimana arahan ditetapkan kerajaan.

"Langkah diambil kerajaan dengan memberi suntikan vaksin kepada pelajar adalah resolusi terbaik, kalau sebelum ini ramai ibu bapa yang bimbang apabila anak-anak kena kembali ke sekolah, tetapi adanya vaksin mereka tak perlu lagi khuatir dengan keselamatan pelajar," katanya.

Syed Nor Hisham
Syed Nor Hisham

Sementara itu, bapa pelajar, Syed Nor Hisham Syed Abdul Rahman, 49, memuji inisiatif pelaksanaan PICK Remaja kerana dapat mewujudkan persekitaran lebih selamat daripada penularan wabak Covid-19.

"Sebelum ini, nak lepaskan anak pergi mana-mana pun takut kerana mereka tiada perlindungan. Sekarang bila sudah vaksin, kita pun rasa lega nak benarkan mereka keluar termasuk ke sekolah, bersukan atau bersosial dengan kawan-kawan," katanya.