25 pelajar cemerlang terima biasiswa PNB

Ahmad Zulqarnain (tiga dari kiri, belakang) bersama 25 pelajar yang menerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB yang diadakan dalam satu majlis, baru-baru ini.
Ahmad Zulqarnain (tiga dari kiri, belakang) bersama 25 pelajar yang menerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB yang diadakan dalam satu majlis, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyampaikan Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB kepada 25 penerima yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2022 (SPM 2022), dalam satu majlis, baru-baru ini.

PNB dalam satu kenyataan berkata, kesemua 25 penerima biasiswa itu akan menjalani program A-Level selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM (KYUEM).

“Setelah berjaya menamatkan A-Level, mereka boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang seperti kewangan, undang-undang, matematik, sains komputer dan kejuruteraan.

“Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB dianggap sebagai sebahagian daripada biasiswa paling berprestij di Malaysia selama lebih daripada dua dekad, memberi peluang kepada pelajar cemerlang ini untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di United Kingdom dan Amerika Syarikat,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kesungguhan PNB untuk memartabatkan pendidikan dengan pemberian biasiswa diperakui di bawah salah satu daripada 10 komitmen ESG PNB iaitu Mengimbangi Keuntungan dan Pelaburan Sosial seperti dinyatakan di bawah Rangka Kerja Kelestarian PNB.

“Pendidikan adalah salah satu fokus utama PNB dalam menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami selama ini, kerana kami percaya bahawa penting untuk memperkasakan generasi masa depan, selaras dengan komitmen kami untuk mencipta nilai mampan jangka panjang,” kata Ahmad Zulqarnain.

Beliau berkata, selain memperkukuh modal insan sendiri, PNB komited menyumbang kepada pembangunan bakat negara, menggambarkan komitmen kami terhadap pertumbuhan dan kemakmuran negara secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zulqarnain
Ahmad Zulqarnain

“Program-program kami untuk graduan muda dan mahasiswa bertujuan melengkapkan pemimpin masa depan dengan pengetahuan dan kemahiran penting sebagai persiapan menjadi tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan,” katanya.

Ahmad Zulqarnain berkata, sejak 1996, lebih daripada 5,500 pelajar telah mendapat manfaat daripada sumbangan PNB yang berjumlah RM392.9 juta.

Sejak pelancaran Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB ini, PNB telah menganugerahkan biasiswa kepada 482 anak muda Malaysia yang layak.