Muip umum bantuan khas fasa dua untuk institusi tahfiz dan pondok

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memperuntukkan sebanyak RM1.04 juta bagi bantuan khas fasa dua kepada institusi maahad tahfiz, madrasah dan pondok di negeri ini.

Bantuan tersebut diumumkan Timbalan Yang Dipertua Muip, Tengku Panglima Raja, Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Majlis Liqa’ Mahabbah Bersama Pengetua Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang secara dalam talian pada Isnin.

"Daripada keseluruhan bantuan fasa dua itu, sebanyak RM360,000 berupa bantuan tunai secara 'one off' iaitu RM300 kepada 1,200 guru dan kakitangan institusi tahfiz di negeri ini.

"Sebanyak RM680,000 lagi sebagai bantuan pengurusan dan utiliti kepada institusi tersebut," jelas Muip menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi pada Isnin.

Dalam kenyataan sama, di bawah bantuan itu untuk fasa satu sebelum ini, Muip juga memperuntukkan sebanyak RM360,000 sebagai bantuan khas kepada guru dan kakitangan institusi tahfiz di negeri ini bagi meringankan beban berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Keseluruhan bantuan khas kepada institusi tersebut bagi kedua-dua fasa itu berjumlah RM2.06 juta," katanya.

Sementara itu, Majlis Taawun Pusat Pendidikan Islam Pahang (Mantap) menyambut baik dan berterima kasih kepada Muip atas bantuan yang diumumkan.

Pengerusinya, Khairul Azmi Ismail berkata, selain bantuan 'one off' kepada guru dan kakitangan, Muip turut mengumumkan bantuan khas pengurusan RM5,000 kepada institusi yang berdaftar dan RM3,000 bagi institusi yang dalam proses pendaftaran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sumbangan geran aktiviti dan program sebanyak RM5,000 turut diumumkan kepada Mantap, Persatuan Madrasah al-Quran Pahang (Permata) dan Persatuan Institusi Tahfiz Pahang (Pinta).

"Kita juga mengambil perhatian dalam beberapa perkara yang ditekankan Tengku Amir Nasser Ibrahim dalam ucapannya pada majlis berkenaan.

"Antaranya, semua wakil institusi diminta berusaha meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), sentiasa mengemas kini dan menambah baik sistem pengurusan institusi tahfiz di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, turut ditekankan agar pada guru menambah baik kemahiran dalam teknologi maklumat bagi melancarkan proses pembelajaran dan pembelajaran.

"Melalui bantuan yang telah dan akan disalurkan, ia dapat membantu meneruskan institusi tahfiz dan pondok di negeri ini," katanya.

Seramai 150 peserta dalam kalangan pengetua dan wakil institusi tahfiz serta pondok menyertai Majlis Liqa Mahabbah Pengetua Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang 2021 secara dalam talian pada Isnin.

Turut serta ialah Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Dr Zulkiflie Ali dan Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Datuk Halidan Daud.