X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Aidil Sharin puas hati Kedah muncul naib juara Liga Super

Pemain Kedah Mohd Rizal Mohd Ghazali cuba menyekat kemaraan pemain Melaka United FC Sony Norde pada perlawanan Liga Super Kedah FC bertemu Melaka United FC di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.
 - Foto Bernama
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak berpuas hati dengan pencapaian pasukannya yang bergelar naib juara Liga Super 2021 selepas membenam Melaka United FC, malam Ahad.

Beliau berkata, para pemainnya telah menunjukkan semangat dan komitmen yang tinggi dalam mengharungi perjalanan liga yang cukup mencabar musim ini dan berharap momentum itu berterusan hingga saingan Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain musim ini. Harapan saya agar pencapaian ini menaikkan moral pasukan. Sebagaimana kita tahu mengharungi musim ini bukanlah mudah, tapi semua pemain melaksanakan tugas dengan baik sekali,” katanya.

Beliau berkata, kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Melaka United FC di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi, yang menyaksikan KDA FC menang 4-1, sekali gus melayakkan pasukan Hijau Kuning itu ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022.

Mengulas mengenai cabaran dihadapi KDA FC musim ini, Aidil Sharin berkata, ia termasuk jadual perlawanan yang padat serta kehilangan beberapa pemain tonggak seperti penyerang import Kpah Sherman dan Rabih Ataya yang tidak dapat beraksi dalam beberapa perlawanan.

“Saya perlu buat pertukaran posisi pemain bagi menyesuaikan keadaan. Ini dilakukan agar tidak memberi tekanan kepada pemain. Alhamdulillah pemain tak membantah dan mereka telah membuktikan kemampuan dan bermain seperti yang dirancang,” katanya.

Aidil Sharin turut memuji persembahan penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Che Kassim yang menunjukkan prestasi memberangsangkan pada musim ini, apabila berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada pasukan lawan.

Selain itu, katanya, kapten pasukan Baddrol Bakhtiar telah berjaya membimbing pasukan dengan baik pada musim ini dan mengucapkan tahniah kepada pemain itu yang muncul sebagai penjaring terbanyak pemain tempatan.

“Saya begitu gembira dengan pencapaian Baddrol, dia pemain penting dan ikon Kedah dan bagi saya dia sentiasa bekerja keras untuk memastikan pasukan menang, bangga dengan kehebatnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United FC Zainal Abidin Hassan berkata, hasrat untuk mengutip tiga mata di Stadium Darul Aman berkecai selepas KDA FC memperoleh dua gol pada separuh masa pertama hingga merencatkan corak permainan pasukannya.

“Saya tak nafikan Kedah bermain begitu baik malam ini, malangnya dua gol mudah dalam masa singkat itu menyusahkan kami. Bagaimanapun kita mesti pandang ke depan. Balik nanti banyak ‘kerja rumah’ nak kena buat,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!