PKPD: Selesaikan isu hasil tani, laut di Kuala Kedah

Asmirul Anuar (kiri) mendengar luahan hati pemborong ikan di Kuala Kedah pada Selasa.
Asmirul Anuar (kiri) mendengar luahan hati pemborong ikan di Kuala Kedah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Isu hasil perikanan dan tani yang tidak dapat dipasarkan hingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah perlu ditangani segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya tidak menafikan keperluan untuk pelaksanaan PKPD berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di dua mukim di Kuala Kedah.

Bagaimanapun, beliau meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan kewajaran beberapa sektor industri pemakanan negara kerana ia boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada pihak terlibat sekiranya tidak diselesaikan pada kadar segera.

"Sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) sememangnya membenarkan beberapa sektor utama dijalankan termasuklah hasil perikanan nelayan dan pertanian yang merangkumi jutaan ringgit.

"Bagaimanapun, hasil tangkapan ikan bertan-tan busuk apabila tidak dibenarkan keluar dari Kuala Kedah untuk dipasarkan, " katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Asmirul berkata, beliau dimaklumkan bertan-tan ikan terpaksa di buang begitu sahaja setakat ini ekoran tidak dapat dihantar kepada pengguna. Kesannya, ia mengakibatkan kerugian besar kepada penduduk tempatan dan industri negara.

Hasil pertanian seperti padi ujar beliau, dilihat mengalami nasib sama apabila tidak boleh dituai dan dibiarkan rebah begitu sahaja sehingga menyebabkan kerosakan pada tanaman itu.

Sehubungan itu, katanya, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengerusi MKN perlu menggunakan budi bicaranya berhubung dengan Putrajaya pada kadar segera untuk menyelesaikan kemelut ini.

Artikel Berkaitan:

Asmirul berpendapat perkara yang boleh diselesaikan dalam masa beberapa jam secara tiba-tiba menjadi kemelut ekonomi perikanan dan pertanian negara dalam tempoh tiga hari dalam tempoh perlaksanaan PKPD di Kuala Kedah.

Dalam perkembangan sama, Asmirul melahirkan kebimbangan apabila walaupun PKPD di Kuala Kedah memasuki hari keempat, namun SOP terkini atau sebarang maklum balas didakwa belum diterima daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tegasnya, Muhammad Sanusi harus menyegerakan pelaksanaan SOP di PKPD Kuala Kedah agar sektor ekonomi negara dalam bidang perikanan dan pertanian tidak terus mengalami kerugian yang boleh melumpuhkan ekonomi setempat.

Beliau pada masa sama, melahirkan harapan supaya Menteri Besar Kedah dapat meluluskan segera peruntukan bantuan kepada penduduk di kawasan PKPD di Kuala Kedah supaya bantuan bekalan makan disampaikan kepada mereka terkesan.

"Saya harap kesemua masalah berbangkit ekoran PKPD di Kuala Kedah diselesaikan segera, sekali gus membolehkan penduduk yang terkesan mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.