X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Vaksinasi Covid-19 remaja di Sarawak bermula hari ini

Pelajar Tingkatan Empat dan Lima SMK Sri Matang Kuching beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air dekat sini, hari ini.
 Foto Bernama
A
A

KUCHING - Sarawak pada Rabu memulakan pelaksanaan vaksinasi Covid-19 untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun dengan sasaran melengkapkan dos vaksin bagi golongan itu sebelum 3 Oktober iaitu tarikh sesi persekolahan dimulakan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, seramai 96,400 remaja dalam lingkungan umur berkenaan akan menerima vaksin Covid-19 yang mewakili 3.4 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak.

“Proses vaksinasi dijalankan di pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan sekolah-sekolah, sementara klinik kesihatan akan memberikan vaksinasi kepada remaja yang tidak bersekolah dan pelajar asrama yang masih berada di kampung masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau PPV untuk remaja di Klinik Kesihatan Telaga Air pada Rabu.

Beliau berkata, remaja berusia antara 12 dan 15 tahun yang berjumlah 192,800 orang di Sarawak akan divaksinasi penghujung September ini dengan dimulai dengan mereka yang komorbid.

“Untuk remaja yang berusia antara 12 dan 15 tahun, mereka dijangka akan lengkap divaksinasi dalam minggu keempat Oktober ini,” katanya.

Abang Johari berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada Selasa telah dilantik untuk mengendalikan sistem pengurusan pemberian vaksinasi Covid-19 untuk murid dan pelajar sekolah.

“Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak mereka yang layak untuk menerima vaksin Covid-19 di PPV khas yang ditetapkan, klinik serta menerusi program outreach (jangkau luar) yang dijalankan di sekolah-sekolah,” katanya.

Bagi Bahagian Kuching, sebanyak 69 sekolah dan 20,990 pelajar berumur 16 hingga 17 tahun akan menerima vaksin ini, manakala di PPV Klinik Kesihatan Telaga Air, 758 remaja dari dua sekolah menengah berdekatan mendapat suntikan vaksin masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata, setakat 6 September Sarawak telah mencapai 88.9 peratus liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi golongan dewasa yang layak di negeri ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!