SPR jadi tumpuan hari ini, tarikh penting PRK DUN Pelangai diumum

SPR akan menentukan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK DUN Pelangai, Pahang. - Gambar hiasan
SPR akan menentukan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK DUN Pelangai, Pahang. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh-tarikh penting pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang akan menjadi tumpuan hari ini.

Mesyuarat khas PRK yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh itu adalah berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lepas.

SPR turut akan mengadakan sidang media sejurus selepas mesyuarat khas itu yang akan menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya di Menara SPR, Putrajaya.

Isnin lepas, SPR memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Pelangai.

Allahyarham Johari, 53, merupakan antara 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lepas.

Pesawat malang itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.50 petang.

Johari, tokoh korporat bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Artikel Berkaitan:

Tiada kemenangan percuma kepada BN-PH di DUN Pelangai

Mesyuarat khas PRK DUN Pelangai Khamis ini - SPR

Kerusi DUN Pelangai diisytihar kosong: Mohd Sharkar

Jenazah ADUN Pelangai akan dikebumikan hari ini