Remaja maut, bapa dan adik cedera nahas lima kenderaan

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 18.8 Jalan Benut-Simpang Renggam, Kluang pada Sabtu. - Foto Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 18.8 Jalan Benut-Simpang Renggam, Kluang pada Sabtu. - Foto Bomba
A
A
A

KLUANG - Seorang remaja maut manakala bapa dan adiknya cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 18.8 Jalan Benut-Simpang Renggam dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd No

Keadaan MPV Toyota Vellfire dan Proton Wira dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan pada Sabtu.
Keadaan MPV Toyota Vellfire dan Proton Wira dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan pada Sabtu.

h berkata, kemalangan pada jam 3.27 petang itu melibatkan dua kereta jenis Proton Wira, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan KIA Sportage serta lori jenis Daihatsu Delta.

"Hasil siasatan awal mendapati Proton Wira, Toyota Vellfire dan KIA Sportage datang dari arah yang sama iaitu dari Benut menghala ke Simpang Renggam manakala lori berkenaan dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian Proton Wira berkenaan masuk ke laluan lori sebelum berlanggar menyebabkan Toyota Vellfire dan KIA Sportage yang berada di belakang tidak dapat mengelak lalu berlanggar dengan satu lagi Proton Wira.

Keadaan lori yang dinaiki mangsa bersama bapa dan adiknya dalam kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Benut-Simpang Renggam, Kluang pada Sabtu. - Foto Bomba
Keadaan lori yang dinaiki mangsa bersama bapa dan adiknya dalam kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Benut-Simpang Renggam, Kluang pada Sabtu. - Foto Bomba

"Semasa kejadian, Proton Wira kedua itu dalam keadaan parking di bahu jalan tanpa pemandu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan lori berkenaan, Muhammad Aliff Abdul Majid, 14, yang beralamat di Simpang Renggam cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berkenaan yang juga bapa mangsa, Abdul Majid, 66, dan seorang lagi anaknya, Muhammad Zafir, 10, yang turut berada di tempat duduk bahagian depan, kedua-duanya cedera di bahagian tengkuk.

Keadaan MPV Toyota Vellfire dan Proton Wira dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan pada Sabtu.
Keadaan MPV Toyota Vellfire dan Proton Wira dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan pada Sabtu.

"Kedua-dua mangsa terbabit masih menerima rawatan di zon kuning Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini," ujarnya.

Dalam pada itu, Bahrin berkata, pemandu Proton Wira yang pertama, Mohd Hanifah, 61, cedera pada tangan kanan sementara pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, Mohd Hanifah akan ditahan untuk melakukan pemeriksaan ujian saringan air kencing dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan II Norhisam Ihwan berkata, tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Seorang mangsa iaitu pemandu lori berkenaan tersepit dan berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Penumpang lori berkenaan iaitu remaja berkenaan tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir. Operasi selesai pada jam 3.41 petang," katanya.