MKBF Prasarana dipapar bermula hari ini - Anthony

Anthony pada sidang media Pengumuman MKBF Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Prasarana di Grand Nexus, Bangsar South pada Isnin. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Anthony pada sidang media Pengumuman MKBF Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Prasarana di Grand Nexus, Bangsar South pada Isnin. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menerbitkan laporan Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) bagi perkhidmatan pengangkutan awam melibatkan tren dan bas perantara bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) syarikat berkenaan melibatkan prestasi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan bas perantara akan dipaparkan menerusi laman web myrapid.com.my.

"Laporan ini yang menjadi sebahagian daripada KPI untuk Prasarana, merupakan suatu kaedah penilaian secara telus terhadap kemampuan tren LRT, MRT, Monorel dan bas pengantara untuk bergerak tanpa mengalami sebarang kerosakan serta gangguan teknikal untuk suatu tempoh tertentu.

"Prasarana akan menyediakan maklumat terkini mengenai bilangan penumpang, faktor perjalanan, serta keadaan kemudahan awam di semua stesen pada setiap minggu atas semangat ketelusan dan akauntabiliti," katanya pada sidang media pengumuman MKBF pada Isnin.

MKBF merupakan istilah industri yang diterima secara meluas di seluruh dunia untuk mengukur kebolehpercayaan sistem rel bandar.

Dalam pada itu Anthony memaklumkan, pencapaian pengangkutan awam kendalian Prasarana ketika ini masih belum mencapai tahap standard dunia susulan mencatatkan gangguan atau kerosakan melebihi lima minit untuk setiap 150,000 kilometer (km) perjalanan.

"Sebagai komitmen syarikat untuk terus memperbaiki prestasi operasinya, saya telah dimaklumkan bahawa Prasarana telah menetapkan sasaran MKBF satu juta km perjalanan menjelang suku ketiga 2026.

"Sasaran ini tinggi dan kita harap dapat dicapai supaya gangguan itu dapat diminimumkan sebaik mungkin" katanya.

Mengulas mengenai kemampuan untuk mencapai sasaran tersebut berikutan terdapat sebilangan tren yang melebihi usia 20 tahun, Anthony menjelaskan, MKBF tidak menilai kemampuan tren, sebaliknya perkhidmatan secara keseluruhan.

"Sebagai contoh, laluan Kelana Jaya mungkin ada 38 tren tidak kira usia, tetapi keseluruhan laluan itu.

"Sudah tentu tren yang berusia jika ada masalah, kita lakukan langkah pencegahan iaitu tarik balik untuk penyelenggaraan," katanya.

Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, Prasaran menyasarkan MKBF purata sejauh 300,000 km untuk tahun ini membabitkan jangkaan 59 kali kerosakan melebihi lima minit bagi semua laluan.

"Untuk tahun 2024, kita sasar (MKBF) sejauh 470,000 km berdasarkan jumlah kerosakan yang dapat dikurangkan.

"Bagi sasaran MKBF satu juta km pula, kami menyasarkan hanya lima kerosakan teknikal atau gangguan berlaku melebihi lima minit," jelasnya.