Pulau Perak, Yan lokasi rujukan Takwim 2022

Muhamad Zakuwan (kiri) ketika majlis penutup program Bulan Falak Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan secara dalam talian.
Muhamad Zakuwan (kiri) ketika majlis penutup program Bulan Falak Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan secara dalam talian.
A
A
A

SHAH ALAM - Pulau Perak di Yan, Kedah lokasi baharu yang menjadi sebagai rujukan Takwim 2022 bagi menghitung analisis data kedudukan bulan Islam yang akan menentukan bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Muhamad Zakuwan Rodzali berkata, lokasi pulau itu dipilih kerana ia bertepatan dengan kebolehan penampakan hilal semasa.

Jelas beliau, perkara itu juga sudah mendapat perkenan daripada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Suatu ketika dahulu tiada penyelarasan antara negeri-negeri dalam bab sambutan Awal Muharram, Ramadan dan Syawal.

“Pada 1968 kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) untuk tujuan penyelarasan.

“Pada 1983 juga pernah berlaku beberapa negeri yang memulakan sambutan awal puasa yang tidak selaras dengan negeri lain,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada majlis Bulan Falak Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan.

Majlis penutup program yang dijalankan secara dalam talian itu disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhamad Zakuwan berkata, Malaysia telah menggunakan beberapa jenis kaedah penyediaan takwim iaitu Takwim Istilahi sebelum 1969, Takwim Hijrah Hakiki digunakan sehingga tahun 1991, Takwim Ijtimak Wajudul Hilal pada 1992 sehingga 1994 serta Takwim Imkanur-rukyah bermula 1995 sehingga kini.

Tambahnya, hampir 30 tahun penggunaan Takwim Imkanur-rukyah digunakan oleh hampir seluruh negara setelah diputuskan oleh resolusi Istanbul dengan beberapa syarat.

“Antara syarat-syaratnya adalah kriteria Imkanur-rukyah Malaysia 1970, muktamar bagi menentukan permulaan bulan-bulan Islam di Istanbul pada 27 November hingga 30 November 1978, Kriteria imkanur-rukyah Malaysia 1983, Kriteria Imkanur-Rukyah Malaysia 1991 dan Kriteria Imkanur-Rukyah Majlis Agama Antara Negara (MABIMS) 2021.

“Pelaksanaan takwim memerlukan piawaian yang boleh digunakan oleh semua pihak kerana ia berdasarkan kajian, analisis dan catatan yang telah direkodkan,”ujarnya.