Rumput minyak jadi pilihan penternak

Rumput minyak kini menjadi pilihan penternak sebagai alternatif sumber makanan kepada haiwan ternakan bagi menjimatkan kos pengurusan berikutan kenaikan harga dedak dan palet haiwan sejak kebelakangan ini. - Foto Bernama
Rumput minyak kini menjadi pilihan penternak sebagai alternatif sumber makanan kepada haiwan ternakan bagi menjimatkan kos pengurusan berikutan kenaikan harga dedak dan palet haiwan sejak kebelakangan ini. - Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - Rumput minyak kini menjadi pilihan penternak sebagai alternatif sumber makanan kepada haiwan ternakan bagi menjimatkan kos pengurusan berikutan kenaikan harga dedak dan palet haiwan sejak kebelakangan ini.

Rata-rata penternak berskala kecil di sini memilih untuk menanam sendiri tumbuhan itu, kerana mendakwa harga dedak dan palet naik RM3 hingga RM10 bergantung kepada jenisnya, sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Ketika ditemui Bernama, seorang penternak kecil-kecilan Abdullah Mat Nuh, 76, berkata, beliau memilih untuk menanam rumput minyak di tanah seluas suku ekar di kediamannya di Manal dekat sini bermula awal tahun ini.

“Ini memandangkan harga dedak naik dan membebankan sehingga saya terpaksa mengeluarkan RM1,000 sebulan bagi membeli dedak dan palet yang kini dijual pada harga RM45 hingga RM60 bagi setiap 50 kilogram (kg) berbanding sebelum ini hanya RM40 hingga RM50 bagi setiap 50 kilogram,” katanya.

Namun, sejak Abdullah mula menanam rumput minyak sebagai alternatif sumber makanan kepada haiwan ternakannya, ia telah mengurangkan RM500 daripada kos bulanannya.

“Ditambah pula ketika ini di kawasan rumah saya susah untuk mendapatkan bekalan rumput kerana terletak berdekatan sawah padi, kerana itu saya melakukan inisiatif ini. Malah, tanam rumput minyak ini jimat kos dan untuk menjaganya tidak susah,” katanya yang menternak enam ekor lembu dan 10 ekor biri-biri itu.

Turut melakukan usaha yang sama, Muhammad Nor Hanis Harun, 30, yang menjadikan rumput minyak menjadi pilihannya bagi mendapat bekalan sumber makanan berterusan serta mencukupi kepada haiwan ternakannya, malah kosnya lebih murah berbanding membeli palet atau dedak dalam pengurusan ternakan.

“Ia menjimatkan kos saya untuk menyediakan sumber makanan kepada empat ekor lembu dan dua ekor kuda, yang mana sebelum ini saya memerlukan RM800 sebulan dan dengan keadah ini saya mampu menjimatkan kos RM400,” luahnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada peringkat permulaan penanaman rumput minyak yang menggunakan biji benih atau keratan akar rumput tua perlu ditanam permukaan tanah yang dibajak, kemudian boleh dituai setelah berusia satu hingga dua bulan dengan ketinggian lebih 38 sentimeter (cm) hingga 50cm.

“Tuaian boleh dilakukan sebanyak lima sehingga tujuh kali setahun, bergantung kepada keluasan (tanaman) dan rumput minyak ini sesuai untuk makanan kepada haiwan ternakan seperti kambing, biri-biri, lembu, kerbau, rusa serta lain-lain ternakan yang makan rumput,” katanya. - Bernama