Perhilitan terima dua aduan haiwan ternakan dibaham harimau

Gambar haiwan ternakan dibaham harimau belang di kawasan sekitar Bukit Berekeh, Sungai Siput yang tular di media sosial. (Gambar kecil: Yusof)
Gambar haiwan ternakan dibaham harimau belang di kawasan sekitar Bukit Berekeh, Sungai Siput yang tular di media sosial. (Gambar kecil: Yusof)
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menerima dua aduan berkaitan haiwan ternakan dibaham harimau di kawasan sekitar Bukit Berekeh di sini.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, kejadian itu berlaku selepas haiwan berkenaan dikesan berkeliaran di kawasan tersebut minggu lalu.

"Benar (ada ternakan dibaham harimau). Setakat ini ada dua aduan diterima daripada penduduk.

"Sebagai langkah alternatif, kita akan memasang perangkap berhampiran kawasan yang dikenal pasti bagi mengurangkan risiko serangan terhadap ternakan penduduk," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan dan rondaan dilakukan, didapati harimau belang dewasa yang dianggarkan berusia 8 hingga 9 tahun telah bergerak menuju Hutan Simpan Piah.

"Kawalan akan terus dijalankan di sekitar lokasi dikenal pasti sehingga harimau itu masuk semula ke dalam hutan dengan selamat," katanya

Pada 5 Mei lepas, Sinar Harian melaporkan Jabatan Perhilitan Perak mengesahkan kehadiran harimau belang di Bukit Berekeh.

Beberapa keping gambar kesan tapak kaki harimau belang yang ditemukan kumpulan pendaki sekitar jam 4 pagi juga tular di media sosial.

Bukit Berekeh setinggi 454 meter itu popular dalam kalangan pendaki berikutan mempunyai pemandangan yang menarik di puncak bukit.