Melaka salur RM1 juta bantu peniaga kecil

Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka memperuntukkan RM1 juta menerusi Dana Bantuan Kasih Niaga bagi membantu 1,000 peniaga kecil yang terkesan akibat pendemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, inisiatif di bawah Belanjawan 2021 Negeri Melaka itu juga bagi membantu peniaga meneruskan kelangsungan selepas ada dalam kalangan mereka hilang punca pendapatan selepas tidak dapat beroperasi sepanjang Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Setakat Ogos 2021, sebanyak 446 permohonan membabitkan peniaga dari daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin, telah diluluskan dengan melibatkan peruntukan RM446,000.

“Sebanyak 554 permohonan masih lagi dalam pertimbangan dan akan diluluskan dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dana Bantuan Kasih Niaga di pejabatnya di Seri Negeri pada Selasa.

Hadir sama Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri telah menerima sebanyak 1,287 permohonan iaitu 781 pada fasa satu dan 506 dalam fasa dua terdiri daripada pengusaha seperti kedai makan, kenderaan saji, salun rambut dan sebagainya.

“Saya berharap, menerusi bantuan ini dapat meringankan sedikit sebanyak kesusahan yang dialami oleh peniaga kecil ini, selain diharap dapat menyuntik mereka supaya lebih berdaya maju dan berdaya saing dalam mendepani cabaran pandemik.

“Dana Bantuan Kasih Niaga ini akan disalurkan ke dalam akaun penerima yang berjaya dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: