Impian pesakit kanser tulang jejak kaki ke KLCC tertunai

Simbolik penyerahan Petronas 50 Dreams kepada Siti Zubaidah sekeluarga.
Simbolik penyerahan Petronas 50 Dreams kepada Siti Zubaidah sekeluarga.
A
A
A

KOTA BHARU - Impian seorang pesakit kanser tulang untuk melihat kehidupan marin secara dekat akhirnya tertunai apabila dibawa ke Aquaria Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).

Siti Zubaidah Zulkefli, 17, terpilih sebagai penerima Petronas 50 Dreams untuk kunjungan ke KLCC termasuk Aquaria KLCC, SURIA KLCC, Dek Pemerhatian tingkat 86 KLCC dan penginapan satu malam dan makan malam di hotel 5 bintang KLCC pada Sabtu.

Anak yatim dari Kampung Air Papan, Batu Melintang, Jeli itu menghidap kanser tulang paha kanan di tahap dua sejak dua tahun lalu.

“Saya bercita-cita untuk menjadi doktor dan sangat berminat dengan dunia sains terutamanya kehidupan laut tetapi tidak pernah pun bermimpi untuk menjejakkan kaki ke KLCC.

Siti Zubaidah
Siti Zubaidah

“Petronas membantu saya untuk mencapai impian yang tak tahu bila-bila akan dapat dicapai sendiri, terima kasih Petronas,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Perlepasan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini, pada Jumaat.

Turut sama mengikuti Siti Zubaidah dalam lawatan itu ialah ibu bapa saudaranya, Zakaria Sulaiman,49, (kerja kampung) dan Inon Rahmat, 51, (suri rumah) serta dua sepupu Siti Zubaidah.

Siti Zubaidah kematian ibu kandung sejak dia berusia sembilan bulan dan diserahkan kepada ibu bapa saudaranya untuk dijaga sehingga kini dan disahkan mengidap kanser serta tidak dapat berjalan selama dua bulan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya sakit paha selama sembilan bulan dan menyangkakan hanya sakit urat biasa.

“Selepas mengetahuinya kanser, saya menjalani rawatan kimoterapi dan setakat ini sel kanser tidak merebak,” katanya.

Siti Zubaidah (kanan) berlepas ke Kuala Lumpur pada Jumaat.
Siti Zubaidah (kanan) berlepas ke Kuala Lumpur pada Jumaat.

Siti Zubaidah yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Melintang berkata, dia juga terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM) untuk pemeriksaan susulan.

“Ingin mempunyai kemudahan pengangkutan bagi tujuan rawatan ke HUSM setiap bulan bagi pemeriksaan susulan supaya tidak perlu menyewa kereta seperti sekarang.

“Saya juga ingin memiliki telefon pintar untuk mengabadikan gambar kenangan bersama orang tersayang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, selain menunaikam impian Siti Zubaidah untuk melawat KLCC, Petronas juga akan membantu menyediakan pengangkutan untuk berulang-alik hospital kepada remaja itu.

“Kami berharap sumbangan ini akan mempermudahkan urusan Siti Zubaidah menjalani rawatan di samping itu, lawatan ke Kuala Lumpur akan menceriakan mereka sekeluarga,” katanya.