Penduduk terganggu pencemaran udara, bunyi bising

Pandak melawat tapak pembinaan untuk kawasan industri berhampiran Taman Leisure Farm di Iskandar Puteri yang didakwa menghasilkan pencemaran udara dan bunyi bising sejak dua bulan lalu.
Pandak melawat tapak pembinaan untuk kawasan industri berhampiran Taman Leisure Farm di Iskandar Puteri yang didakwa menghasilkan pencemaran udara dan bunyi bising sejak dua bulan lalu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Projek perindustrian baharu yang sedang dibangunkan berhampiran Taman Leisure Farm di Gelang Patah di sini didakwa menimbulkan pencemaran udara dan bunyi bising sejak dua bulan lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, kerja-kerja pembinaan kawasan industri baharu itu menghasilkan debu yang banyak selain gangguan bising sehingga menjejaskan keselesaan dan mengundang kebimbangan penduduk setempat.

Beliau berkata, kesan daripada pencemaran ini dapat dirasai penduduk terutama di Taman Leisure Farm, kumpulan peniaga di bangunan rumah kedai serta pengurusan sekolah.

"Pihak kami sudah menerima puluhan aduan berkaitan projek pembangunan berkenaan.

"Pencemaran debu ini dibimbangi akan menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya, pelajar sekolah mahupun penduduk di rumah pangsa kos rendah di Leisure Farm.

"Ini boleh meninggalkan kesan buruk kepada orang ramai termasuk jatuh sakit kerana menghadapi situasi tersebut hampir setiap hari," katanya.

Kerja-kerja pembinaan di sebuah kawasan industri berhampiran Taman Leisure Farm di Iskandar Puteri sejak dua bulan lalu didakwa menghasilkan pencemaran udara dan bunyi bising.
Kerja-kerja pembinaan di sebuah kawasan industri berhampiran Taman Leisure Farm di Iskandar Puteri sejak dua bulan lalu didakwa menghasilkan pencemaran udara dan bunyi bising.

Beliau berkata, selain itu, kenderaan berat dari kawasan berkenaan didakwa dipandu laju hingga mengakibatkan kemalangan baru-baru ini serta meragut nyawa.

Artikel Berkaitan:

Pandak mendakwa, projek pembangunan di kawasan industri berkenaan dijalankan tanpa perancangan rapi dan sistematik melibatkan keselamatan awam.

Sepatutnya kata beliau, pemaju membina laluan alternatif untuk kenderaan berat tanpa menggunakan laluan sedia ada hingga menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya lain.

"Malah akibat projek ini, sistem saliran terjejas hingga mengakibatkan air bertakung di laluan utama ketika hujan serta mengakibatkan kesesakan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah merujuk masalah tersebut kepada pihak pemaju, namun mereka hanya menyatakan akan memantau perkara itu.

"Ini seolah-olah melepaskan batuk di tangga dan diharap pihak berkuasa segera bertindak sebelum ia mengundang permasalahan tidak diingini," ujarnya.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkaitan perlu segera melakukan penguatkuasaan, katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!