Cabaran kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
A
A
A

BUAT pertama kalinya dalam sejarah negara, Kementerian Kewangan telah menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Bajet 2022 yang dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada 29 Oktober depan.

Penerbitan KPB berkenaan telah menampakkan keikhlasan kerajaan sebagai usaha menambah baik proses penyediaan bajet tahunan demi faedah dan kebajikan rakyat jelata.

Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Bajet 2022 akan meneruskan usaha pemulihan dalam memastikan negara berjaya keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 serta meneruskan agenda memulih kehidupan dan sektor ekonomi terjejas pasca-pandemik.

Seluruh rakyat menyambut baik segala usaha yang dilakukan kerajaan dalam memulihkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan pendapatan rakyat setelah dilanda Covid-19 lebih 18 bulan yang lalu.

Bagi menjamin pembentangan Bajet 2022 memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat, Kementerian Kewangan telah berjanji akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak memberi maklum balas masing-masing selaras dengan dasar dan objektif negara.

Adalah dijangkakan Bajet 2022 akan meneruskan pelbagai perancangan yang disusun kerajaan sebelum ini serta merangka berdasarkan Rancangan Malaysia ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Cabaran lebih besar pastinya akan dihadapi kerajaan untuk menyediakan sebuah bajet yang boleh memastikan rakyat jelata dapat memberi bantuan secukupnya.

Mengimbau kembali Bajet 2021, sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah diperuntukkan dalam bajet tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ia dirangka berdasarkan tiga matlamat utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Bagi Bajet 2022, kerajaan sudah tentu akan meneruskan ketiga-tiga matlamat berkenaan di samping menambahkan lebih banyak peruntukan lebih-lebih lagi untuk tujuan pembangunan dan sistem kesihatan yang lebih baik bagi membendung penularan Covid-19.