Dewan Negara lulus tiga RUU di bawah Kementerian Kewangan

Parlimen Malaysia.
Parlimen Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara pada Isnin meluluskan tiga Rang Undang-undang (RUU) di bawah Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan perbelanjaan tambahan kerajaan, penambahbaikan pentadbiran cukai, serta levi keuntungan luar biasa.

RUU terlibat ialah RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023; RUU Kewangan 2023; serta RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 yang diluluskan dengan suara majoriti.

Ketika membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata anggaran perbelanjaan mengurus tambahan pertama 2022 berjumlah RM60.17 bilion daripada Kumpulan Wang Disatukan adalah untuk membiayai perbelanjaan bekalan.

"Peruntukan tambahan perbelanjaan mengurus pertama 2022 dibentangkan bagi memperoleh kelulusan terhadap perbelanjaan yang tidak diperuntukkan atau yang tidak diperuntukkan dengan sepenuhnya dalam Belanjawan 2022 yang lepas," katanya.

RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 30 Mac lepas.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, RUU Kewangan 2023 adalah untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 dan Akta Kewangan 2018.

Steven berkata, RUU berkenaan adalah bagi menguatkuasakan langkah-langkah cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2023 pada 24 Februari lepas.

"Di samping itu, (ia bertujuan) melaksanakan keputusan kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai yang memerlukan pindaan kepada akta-akta berkaitan,” katanya.

Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Kewangan 2023 dan RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 pada 3 April lepas.

Steven berkata, pelaksanaan RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 tidak melibatkan kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan kutipan levi keuntungan luar biasa bagi menjana hasil tambahan yang boleh digunakan untuk membiayai program pembangunan negara.

"Bagi tujuan tersebut, Perintah Levi Keuntungan Luar Biasa (Buah Kelapa Sawit) 2023 telah diwartakan pada 31 Jan, 2023 bagi mengenakan dan mengutip levi ke atas pengeluaran buah kelapa sawit berkuat kuasa mulai 1 Februari 2023.

"Perintah ini telahpun dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Feb, 2023,” katanya. - Bernama