Isu GST, ekonomi negara jadi tumpuan Dewan Rakyat

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang bermula 13 Feb lalu berakhir semalam dengan beberapa isu utama ekonomi negara diberi perhatian, antaranya cadangan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kegawatan ekonomi dan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian untuk tidak memperkenalkan semula GST pada masa ini adalah kekal.

Beliau berkata, ini berikutan pendapatan rakyat yang masih rendah berbanding negara-negara yang mengguna pakai sistem GST seperti Singapura dan Kanada, selain kerajaan yakin hasil yang bakal dikutip dan penguatkuasaan kutipan yang cekap mampu menambah pendapatan negara.

"Kita belum bersedia kerana pendapatan rakyat masih rendah. Jadi, saya tidak fikir kita akan mempertimbangkannya dalam tempoh enam bulan atau satu tahun pun,” katanya.

Sementara itu, isu sama ada negara bakal mengalami kegawatan ekonomi turut dibincangkan.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan Malaysia dijangka tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan global.

Beliau berkata, takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.

"Berdasarkan prestasi pertumbuhan ekonomi pada kadar 8.7 peratus pada tahun lepas, kerajaan menjangka ekonomi Malaysia akan berkembang pada sekitar 4.5 peratus pada tahun ini.

"Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2023 pada sekitar 4.4 peratus dan 4.0 peratus,” jelasnya.

Dewan Rakyat turut dimaklumkan kerajaan setakat ini telah membayar hutang 1MDB berjumlah RM43.8 bilion dengan baki yang belum dibayar adalah sebanyak RM9.7 bilion melibatkan RM5 bilion prinsipal (wang pokok) dan RM4.7 bilion faedah.

Ahmad berkata, pembayaran itu dibuat melalui pendahuluan pemegang saham sebanyak RM24.5 bilion dan akaun amanah (RM19.3 bilion).

Menurut Ahmad, kerajaan juga telah memperoleh sebanyak RM33.6 bilion daripada dapatan semula aset 1MDB dan RM8 bilion daripada penyelesaian dengan firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Menurutnya, hutang prinsipal yang diambil daripada 1MDB adalah sebanyak RM33.6 bilion manakala faedahnya berjumlah RM14.9 bilion.

Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 12 rang undang-undang telah diluluskan, termasuklah Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka diluluskan pada 28 Mac lepas.

RUU itu diluluskan di Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju tanpa pindaan pada Rabu.

Beberapa RUU yang turut diluluskan termasuklah Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2022) 2023, Rang Undang-Undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.

Pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan pada 22 Feb lepas, Ahmad berkata Akta Tanggungjawab Fiskal dijadual dibentangkan pada tahun ini.

Akta tersebut akan merangkumi beberapa komponen antaranya ialah had peratusan hutang kerajaan tidak melebihi 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menanggung bayaran khidmat hutang yang tidak melebihi 15 peratus daripada bajet tahunan kerajaan persekutuan.

Mengikut takwim di laman web rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 22 Mei hingga 15 Jun depan. - Bernama.