X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Covid-19: 17,352 kes baharu, Sarawak rekod kes tertinggi

Gambar hiasan.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes baharu positif Covid-19 menunjukkan penurunan selepas 17,352 kes dilaporkan pada Isnin.

Kedudukan teratas Selangor yang melaporkan bilangan kes tertinggi selama ini kini telah diambil alih oleh Sarawak dengan merekodkan 3,714 kes.

Selangor pula mencatatkan 2,126 kes diikuti oleh Johor (2,101), Sabah (1,844), Kedah (1,599), Pulau Pinang (1,558), Kelantan (1,213) dan Perak (1,082).

Negeri yang melaporkan kes baharu tiga angka adalah Terengganu (700), Pahang (463), Melaka (295), Negeri Sembilan (193), Perlis (38), Putrajaya (23) dan Labuan (dua).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih separuh kes baharu iaitu 11,441 (65.9 peratus) adalah pesakit yang tiada sejarah vaksinasi, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau telah menerima dua dos vaksin tetapi tidak melebihi 14 hari dari tarikh dos kedua.

"Bakinya, 5,911 kes (34.1 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, daripada 268 kes kategori tiga hingga lima, sebanyak 191 kes (71.3 peratus) terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi.

"Hanya 77 kes (28.7 peratus) daripada mereka yang telah lengkap divaksinasi," katanya.

Beliau berkata, situasi itu jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

"Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 adalah 1,862,187 kes," katanya.

Dr Noor Hisham, sebanyak 20,201 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhannya, 1,591,028 kes.

"Sebanyak 252,668 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) melibatkan 1,355 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

"Kes yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 745 yang terdiri daripada 310 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Tambah beliau, terdapat 272 kes kematian baharu membabitkan 227 rakyat tempatan dan 45 warga asing.

"Daripada jumlah itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan 81 kes kematian di rumah atau di luar fasiliti kesihatan (BID) melibatkan 56 rakyat tempatan dan 25 warga asing.

"Jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 adalah 18,491 kes," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 30 kluster baharu dikenalpasti KKM menjadikan jumlah keseluruhannya 4,921 kluster.

"Terdapat 16 kluster tempat kerja, tujuh kluster komuniti, empat kluster kumpulan berisiko tinggi, dua kluster institusi pendidikan dan satu kluster pusat tahanan.

"Sebanyak 3,468 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 1,453 lagi masih aktif," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!