Kedah rekod penerima tertinggi SARa di Semenanjung

Ahmad (tiga dari kiri) melakukan tinjauan bersama penerima STR dan SARa di sebuah pasar raya di Taman Megah Pontian, pada Ahad.
Ahmad (tiga dari kiri) melakukan tinjauan bersama penerima STR dan SARa di sebuah pasar raya di Taman Megah Pontian, pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Kedah merekodkan jumlah tertinggi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar berdasarkan data e-Kasih yang menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) bagi mendapatkan barangan keperluan makanan asas.

Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia diikuti penerima di negeri Kelantan dan Perak.

"Bagi negeri di Semenanjung, Kedah merupakan penerima tertinggi dengan 21,000 penerima diikuti Kelantan (20,000) dan Perak (16,000) manakala di Johor seramai 8,000 penerima.

"Seramai 220,000 penerima STR dalam kategori miskin tegar berdasarkan data e-Kasih menerima SARa di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan bersama penerima STR dan SARa di sebuah pasar raya di Taman Megah Pontian pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian itu menambah, bagi semua penerima di Semenanjung, bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai berjumlah RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan mulai Julai akan disalurkan secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.

"Penerima boleh membuat pembelian di 600 pasar raya atau kedai runcit terpilih di seluruh negara.

"Pelaksanaan SARa sudah dibuat mulai 17 Julai melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

"Di negeri-negeri lain seperti Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula, pelaksanaan telah dilakukan pada 31 Julai lala manakala Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 7 Ogos," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Julai, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pemberian bantuan SARa berjumlah RM600 menerusi aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum pembentangan Belanjawan Madani 2024.

Kementerian Kewangan menjelaskan, Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan hampir RM130 juta di bawah inisiatif Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya kumpulan miskin tegar mendepani cabaran kos sara hidup.