Pelitawanis TNB sumbang mesin hemodialisis kepada Hospital Kuala Nerang

Mahdzir (dua kanan) menyempurnakan gimik penyerahan mesin hemodialisis kepada Hospital Kuala Nerang, pada Ahad.
Mahdzir (dua kanan) menyempurnakan gimik penyerahan mesin hemodialisis kepada Hospital Kuala Nerang, pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERANG - Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis TNB) menyumbangkan satu unit mesin hemodialisis bernilai RM40,000 kepada Hospital Kuala Nerang pada Ahad.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan persatuan itu turut menyerahkan 10 buah kerusi roda bagi kegunaan pesakit di hospital tersebut.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, dana membeli mesin hemodialisis dan 10 buah kerusi roda itu adalah hasil daripada kutipan Majlis Malam Amal Pelitawanis TNB 2020.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pelitawanis TNB atas inisiatif yang diambil untuk mengumpul sumbangan dan seterusnya menyalurkannya dalam bentuk mesin hemodialisis serta kerusi roda ini.

"Sememangnya sumbangan tersebut amat bermakna kepada penduduk di Parlimen Padang Terap dan boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pengurusan Hospital Kuala Nerang, sekali gus meningkatkan lagi tahap perkhidmatan hospital ini kepada rakyat," katanya ketika sidang akbar di Hospital Kuala Nerang pada Ahad.

Tambah Mahdzir, selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia, sebanyak 37 unit mesin hemodialisis telah diagihkan ke seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah melalui Pelitawanis TNB di peringkat cawangan.

Persatuan yang dianggotai oleh kakitangan wanita dan isteri kakitangan TNB itu aktif menjalankan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat terutamanya membantu golongan B40 dan asnaf yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Hadir sama Koordinator Pelitawanis TNB Negeri Kedah, Siti Safinaz Kamaruddin dan Pengarah Hospital Kuala Nerang, Dr Muhammad Shauqi Abdul Kadir

Artikel Berkaitan: