RM120 semangkuk tetap ‘laku keras’

Kesukaran mendapatkan ikan begahak dari Sungai Pahang menjadikannya sebagai ikan bernilai tinggi dalam ranking ikan air tawar Malaysia.
Kesukaran mendapatkan ikan begahak dari Sungai Pahang menjadikannya sebagai ikan bernilai tinggi dalam ranking ikan air tawar Malaysia.
A
A
A

KUALA LIPIS – Kesukaran mendapatkan ikan begahak atau nama saintifiknya Belodontichthys dinema sepanjang masa dari Sungai Pahang menjadikan ikan ini dikategorikan bernilai tinggi dalam ranking ikan air tawar Malaysia.

Harga ikan ini boleh mencecah sekitar RM60 hingga RM80 sekilogram dan mungkin lebih lagi jika dipasarkan di restoran. Tidak hairanlah, bahagian kepala begahak gulai tempoyak boleh mencecah harga RM120 semangkuk.

Meskipun dijual pada harga mahal, hidangan tersebut tetap menjadi pilihan sehingga ada pelanggan dari luar Pahang sanggup berkunjung ke sebuah kedai makan di Kampung Ganding, di sini semata-mata mahu menikmati keenakan spesies sungai itu.

Pengusahanya, Hasnah Budin, 67, berkata, harga hidangan itu ditentukan mengikut saiz dan berat, kerana ikan begahak diperoleh dalam keadaan segar.

“Hidangan kepala ikan begahak yang beratnya hampir tiga kilogram dijual pada harga RM120 semangkuk.

“Bahagian badan pula ditawarkan antara RM40 hingga RM50 semangkuk dan bergantung kepada saiz serta bekalan semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

HASNAH
HASNAH

Hasnah yang mengusahakan kedai makan hampir 30 tahun, memberitahu bahawa isinya yang berlemak, manis, kenyal dan lembut menjadikan gulai tempoyak ikan begahak begitu digemari.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, spesies ikan yang juga digelar pontianak sungai kerana memiliki gigi tajam berceracak itu mempunyai rahsia kesedapan tersendiri, terutama apabila bersaiz besar.

“Ikan begahak ini memang sedap... Isinya ada rasa manis-manis dan berlemak, bukannya tawar semata-mata seperti yang disangka sesetengah orang.

“Lagi besar saiznya, lagi terasa lemaknya dan kualiti isinya sama seperti ikan lain yang terdapat di Sungai Pahang.

“Jadi, kebanyakan penggemar ikan sungai tidak berkira mengenai harga demi kepuasan rasa,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Hasnah memaklumkan biarpun mahir menyediakan pelbagai jenis masakan, hidangan berasaskan tempoyak tetap menjadi identiti kedai makannya sejak tiga dekad lalu.

Menurutnya, begahak atau disebut juga sebagai gohok dalam kalangan masyarakat di Pahang mempunyai keistimewaan tersendiri dan sangat serasi apabila digandingkan dengan kuah tempoyak yang pedas serta pekat.

Inilah begahak, dianggap salah satu ikan legenda yang wujud di Sungai Pahang dan menjadi idaman kaki pancing dan pemburu ikan sungai.
Inilah begahak, dianggap salah satu ikan legenda yang wujud di Sungai Pahang dan menjadi idaman kaki pancing dan pemburu ikan sungai.

“Sebenarnya begahak ini macam-macam boleh masak, boleh juga buat asam pedas mahupun goreng berlada.

“Tetapi di kedai makan ini, saya lebih fokus kepada gulai tempoyak sebab itu memang kegemaran pelanggan dan kepakaran saya sejak dahulu lagi,” ujarnya.

Mengulas mengenai bekalan ikan sungai, Hasnah berkata, pelbagai jenis ikan diperoleh terus daripada hasil tangkapan penduduk di sekitar Sungai Pahang.

Menurutnya, selain begahak, terdapat spesies unik lain yang ditawarkan, termasuk kenerak, kerai, tenggalan, tapah, patin dan sebagainya.

“Kedai ini memang jual masakan daripada ikan asli Sungai Pahang. Apa sahaja spesies ikan asli sungai, saya akan masak.

“Kalau hendak makan, telefon dulu sebab kadangkala bekalan ikan tiada,” katanya.

Infografik ikan begahak
Infografik ikan begahak

Begahak 9kg dijual dengan harga RM600

DI TEMERLOH Seorang nelayan Sungai Pahang di sini, Aliff Muhammad, memberitahu bahawa pada hujung tahun lalu beliau berjaya menjual seekor ikan begahak seberat 9kg dengan harga RM600 kepada seorang individu dari Kuala Lumpur.

Ikan berkenaan terkena jaring hanyut pada tengah malam di kawasan berbatu di Sungai Pahang, berdekatan Kampung Bangau Tanjung di sini.

"Alhamdulillah, rezeki keluarga. Tak sangka begahak bersaiz besar terkena jaring saya.

"Selalu juga saya dapat ikan ini, terutama selepas musim banjir besar," katanya yang juga pengusaha ikan patin sangkar di Sungai Pahang.

Sementara itu, kaki pancing dari Kuantan, Mohd Jamil Hamid, 40, berkata, tekstur ikan begahak yang lembut dan hampir tiada tulang halus menjadikannya antara hidangan air tawar paling berkualiti.

Keenakan isi begahak yang juga dianggap sebagai salah satu ikan legenda Sungai Pahang terserlah apabila diolah mengikut resipi tradisional tempatan bagi mengekalkan keaslian rasanya.

Begahak yang masuk dalam jaring hanyut milik Aliff Muhammad di kawasan berbatu di Sungai Pahang berdekatan Kampung Bangau Tanjung, Temerloh.
Begahak yang masuk dalam jaring hanyut milik Aliff Muhammad di kawasan berbatu di Sungai Pahang berdekatan Kampung Bangau Tanjung, Temerloh.

“Ikan ini sangat sesuai dimasak gulai tempoyak kerana gabungan ramuan tersebut akan menaikkan aroma lazat dengan rasa lemak, manis dan lembut.

"Kesedapannya menjadikan hidangan ini sering menjadi pilihan keluarga setiap kali berpeluang menikmatinya,” katanya.

Mohd Jamil memberitahu, pengalaman memancing ikan sungai lebih 25 tahun memberinya peluang untuk menikmati sajian yang sukar diperoleh di pasaran.

“Ikan ini kalau saya dapat jarang dijual, biasanya akan dijadikan hidangan buat keluarga,” ujarnya yang sering memancing ikan ini sekitar Paloh Hinai, Pekan.

Menurutnya, keunikan rasa ikan pemangsa ini berkait rapat dengan tabiatnya yang hanya muncul selepas musim banjir untuk memburu kumpulan anak ikan sebagai dietnya.

“Ikan begahak aktif mengejar anak ikan, jadi teknik mengilat dengan gewang warna terang dan berkilat paling berkesan kerana ia menarik perhatian ikan ini yang cepat menyambar umpan terutama di arus laju,” ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • Kesukaran mendapatkan ikan begahak dari Sungai Pahang menjadikannya bernilai tinggi dengan harga boleh mencecah RM60 hingga RM80 sekilogram
  • Pelanggan dari luar Pahang sanggup berkunjung ke Kampung Ganding untuk menikmati hidangan ikan begahak
  • Harga hidangan ikan begahak ditentukan mengikut saiz dan berat dengan kepala ikan hampir tiga kilogram dijual pada RM120 semangkuk
  • Isi ikan begahak yang berlemak, manis, kenyal, dan lembut menjadikan gulai tempoyak begitu digemari
  • Seorang nelayan berjaya menjual ikan begahak seberat 9kg dengan harga RM600 kepada individu dari Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!