Ayam goreng tepung punca 12 murid alami keracunan

KEPALA BATAS – Seramai 12 murid di sebuah sekolah dilaporkan mengalami gejala disyaki keracunan makanan selepas mengambil makanan dari kantin sekolah berkenaan pada 23 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, kluster tersebut melibatkan murid Tahap 2 iaitu Darjah Empat hingga Enam dengan jumlah murid terdedah seramai 604 orang manakala kadar serangan direkodkan sebanyak 1.98 peratus.
Menurutnya, notifikasi awal diterima daripada Pejabat Pendidikan Daerah sebelum siasatan lapangan dijalankan pada hari sama oleh Unit Kawalan Penyakit Berjangkit bersama Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Pegawai Teknologi Makanan.
“Hasil siasatan mendapati murid terlibat mengalami simptom seperti muntah, sakit perut, cirit-birit, sakit kepala dan demam,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Tambahnya, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKDSPU) memaklumkan, agen penyebab yang disyaki ialah Staphylococcus Aureus yang mana, ayam goreng tepung dikenal pasti sebagai makanan yang berkemungkinan menjadi punca utama kejadian tersebut.
"Siasatan turut mengenal pasti beberapa faktor risiko termasuk pekerja kantin yang kurang berpengalaman susulan pelaksanaan tender baharu, kekurangan tenaga kerja, aduan makanan tidak dimasak dengan sempurna serta risiko pencemaran silang semasa pengendalian makanan.
"Susulan itu, pemeriksaan premis kantin telah dijalankan dan mendapati rating kebersihan berada pada tahap 78.16 peratus selain satu notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan selepas bukti kehadiran lipas ditemui," katanya lagi.
Tambah beliau, PKDSPU turut mengeluarkan Perintah Penutupan Premis ke atas dapur kantin sekolah berkenaan di bawah Seksyen 18(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkuat kuasa mulai 23 Januari sehingga siasatan selesai.
"Selain itu, arahan tindakan pembetulan telah diberikan kepada pengusaha makanan, pengesanan kes secara aktif diteruskan serta pendidikan kesihatan berkaitan keselamatan makanan disampaikan kepada guru dan pengendali kantin.
"Keselamatan dan kesihatan murid sentiasa menjadi keutamaan pihak JPN Pulau Pinang.
“Kami memberi kerjasama penuh kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah dalam siasatan yang dijalankan dan akan memastikan semua garis panduan keselamatan serta kebersihan makanan di sekolah dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menasihatkan warga sekolah agar sentiasa peka terhadap aspek kebersihan makanan dan segera melaporkan sebarang isu yang boleh menjejaskan kesihatan murid.
Ringkasan AI
- Seramai 12 murid SK Bertam Putra mengalami gejala keracunan makanan selepas makan di kantin pada 23 Januari
- Kluster ini melibatkan murid Tahap 2 dengan jumlah murid terdedah ialah 604 orang dan kadar serangan 1.98 peratus
- Siasatan awal menunjukkan simptom termasuk muntah, sakit perut, cirit-birit, sakit kepala dan demam
- Agen penyebab disyaki adalah Staphylococcus Aureus dengan ayam goreng tepung sebagai punca utama
- Pejabat Kesihatan Daerah mengeluarkan Perintah Penutupan Premis kantin sekolah hingga siasatan selesai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

