Bekas CEO mengaku tidak bersalah tipu invois RM40,000

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan penipuan invois di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada Rabu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan penipuan invois di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan berhubung penipuan invois melibatkan jumlah RM40,000 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada Rabu.

Tertuduh, Aziedy Abdul Talib, 42, didakwa telah menipu kakitangan Mutiara.Com Sdn Bhd dengan cara memperdaya Madiani Ab Manaf untuk mempercayai bahawa kandungan invois untuk perkhidmatan 'Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service' adalah benar bagi mendorong bayaran RM40,000 kepada ATR Resources Enterprise, syarikat milik adiknya.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Undang-Undang Malaysia Akta 574) yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh turut mempunyai pertuduhan pilihan iaitu telah memberikan satu dokumen iaitu invois kepada seorang ejen iaitu Eksekutif Operasi Kewangan Mutiara. Com Sdn Bhd, Mardiyani Ab Manaf yang mana prinsipalnya mempunyai kepentingan mengenainya dan mengandungi butir matan palsu iaitu 'Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service' yang berjumlah RM40,000.

Perkhidmatan itu sebenarnya tidak dilakukan oleh syarikat ATR Resource Enterprise yang pada pengetahuan tertuduh adalah dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Bagi pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama (Undang-Undang Malaysia Akta 575).

Ia memperuntukkan penjara selama tempoh tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Mutiara.Com Sdn Bhd di Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister dalam daerah Timur Laut pada 11 Oktober 2016.

Tertuduh diwakili peguam CP Ang manakala pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman.

Dalam pendakwaannya, Noor Azura memohon mahkamah mengenakan wang jaminan RM10,000 serta dua syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Ibu pejabat SPRM sekali setiap bulan manakala pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Dalam rayuannya, CP Ang meminta wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu menyara isteri, dua anak, ibu bapanya yang sudah uzur dan seorang adik yang tinggal bersamanya.

Tertuduh juga hanya bekerja sambilan sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu negara dan kontraknya akan tamat dua bulan lagi.

Hakim Zulhazmi Abdullah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan membenarkan dua syarat tambahan tersebut.

Kes akan disebut semula pada 26 Jun depan.