Kenyataan Peguam Negara bercanggah titah Agong: PH

Dari kiri Guan Eng, Anwar dan Mohamad.
Dari kiri Guan Eng, Anwar dan Mohamad.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menganggap kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa undi percaya tidak perlu dilakukan di Parlimen pada 13 September ini sebagai biadab dan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kenyataan tersebut bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda ketika sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.

“Tuanku bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

“Titah ini turut ditekankan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan dipersetujui semua ketua parti malah Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun juga hadir menjadi saksi.

“Di manakah logik dan kewarasan beliau yang berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul tersebut dititah sendiri oleh Tuanku?” soal mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada keperluan absahkan pelantikan PM: Peguam Negara

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada Sabtu, Idrus menyatakan lantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak perlu undi percaya di Dewan Rakyat kerana boleh menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Majlis Presiden PH turut mendesak Idrus meletak jawatan kerana menderhaka terhadap Seri Paduka Baginda dan mengkhianati Perlembagaan Persekutuan serta sistem demokrasi berparlimen.

“PH menjunjung titah Seri Paduka Baginda bahawa undi percaya perlu dikemukakan dan diluluskan untuk mengabsahkan Perdana Menteri kesembilan mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada sidang Parlimen.

“Perdana Menteri tidak harus mengguna pakai nasihat yang salah ini sekiranya beliau tidak mahu mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri kelapan yang mengakibatkan ketidakstabilan politik apabila keabsahan sentiasa diragui dan dipertikai,” tegas mereka.