Konsep Keluarga Malaysia rentasi sempadan agama, bangsa

Idris membaca khutbah Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat. - Foto FB Idris Ahmad
Idris membaca khutbah Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat. - Foto FB Idris Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi keutuhan negara dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, konsep itu dipilih kerana frasa tersebut bersifat inklusif.

“Kita semua diibaratkan sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum,” katanya ketika membaca Khutbah Jumaat bertajuk Keluarga Malaysia di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya di sini pada Jumaat.

Khutbah yang disampaikan merupakan khutbah pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Isnin lalu.

Pada 22 Ogos lalu, konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan dalam ucapan sulung Ismail Sabri.

Sementara itu, Idris berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengekang penularan wabak dan mengeluarkan negara dari kemelut pandemik Covid-19.

Menurutnya, usaha-usaha yang dilakukan memerlukan kebersamaan dan kerjasama yang tinggi daripada seluruh anggota Keluarga Malaysia.

Ujar beliau, konsep itu juga menyeru semua pihak untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam mencapai objektif utama PPN.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Idris berkata, masyarakat perlu bersatu hati dan mengetepikan sebarang perbezaan dalam memperbaiki, merawat dan memulihkan semula tanah air.

“Sememangnya manusia diciptakan dengan kepelbagaian dan perbezaan.

“Namun ia bukanlah alasan untuk kita berpecah belah kerana perbezaan itulah yang melengkapi antara satu sama lain,” ujarnya.

Jelas beliau, setiap anggota Keluarga Malaysia perlu menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah kita kecapi sebelum ini.

“Kebersamaan dan kerjasama seluruh anggota masyarakat juga amat ditagih dalam usaha mengeluarkan Malaysia daripada kemelut pandemik Covid-19 dengan selamat.

“Sama-samalah kita berusaha dan berikhtiar, serta berdoa dan bertawakal kepada ALLAH SWT agar usaha dan perancangan kita ini mendapat kejayaan. Insya-ALLAH,” katanya.