X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

SOP lebih efektif kawal keselamatan penduduk, pelancong Langkawi

Dominic Lau Hoe Chai
A
A

KUALA LUMPUR - Pembukaan Pulau Langkawi pada 16 September ini sebagai projek rintis pembukaan sektor pelancongan perlu ditangani dengan berhati-hati oleh pihak yang terbabit.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihak berkuasa perlu menyusun prosedur operasi standard (SOP) yang lebih efektif bagi memastikan keselamatan penduduk dan pelancong di pulau itu terkawal.

Menurutnya, semua pihak masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah kes penembusan walaupun sebanyak 89 peratus penduduk di Pulau Langkawi telah menerima vaksin.

"Apabila seseorang dijangkiti dengan virus Covid-19 setelah diberi vaksin sepenuhnya, ini disebut sebagai kes penembusan dan kes-kes penembusan di seluruh dunia kini meningkat beransur-ansur.

"Sebagai contoh, Korea Selatan telah mengumpulkan 3,128 kes jangkitan. Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) juga menunjukkan bahawa antara Mei hingga 25 Julai 2021, kira-kira 25 peratus kes yang disahkan di Los Angeles, California ialah penduduk lengkap menerima vaksin," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dominic turut mencadangkan agar kerajaan dapat belajar daripada kes pembukaan Phuket secara bersyarat di Thailand pada 1 Julai lalu, setelah sebanyak 83 peratus penduduk pulau itu menerima dua dos vaksin.

Beliau berkata, selepas hanya 11 hari pembukaan pulau berkenaan diumumkan, seramai enam orang disahkan positif, malah kes pertama varian Delta juga muncul antara kes jangkitan tempatan.

"Ketika menyusun SOP, kerajaan kita boleh menjadikan kes Phuket sebagai rujukan dan mencari ketidakcukupan SOP mereka supaya dapat menyusun satu set SOP lebih berkesan dan efektif.

"Semua pihak juga harus mempunyai pemahaman yang jelas atas SOP yang disusunkan agar dapat mengikutinya ketika menghadapi masalah," kata Dominic.

Beliau menambah, sehingga 31 Ogos, Langkawi menyumbang 993 kes daripada semua kes disahkan di Kedah.

"Pihak berkuasa perlu ada rancangan dan langkah yang komprehensif sebelum memulakan pelancongan di Langkawi," katanya.

Pada Khamis, kerajaan mengumumkan sektor pelancongan kembali dibuka kepada pelancong tempatan mulai 16 September ini dengan Pulau Langkawi sebagai projek rintis pembukaan sektor tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Khamis.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!