Allahyarham Mohamad Azrin dinaikkan pangkat Koperal

Pengebumian jenazah Mohamad Azrin dilaksanakan secara istiadat ketenteraan di Kampung Pinang Dalam Sungai Petani.
Pengebumian jenazah Mohamad Azrin dilaksanakan secara istiadat ketenteraan di Kampung Pinang Dalam Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tentera Darat Malaysia (TDM) menganugerahkan kenaikan pangkat Koperal kepada Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa bagi menghargai khidmat baktinya sepanjang bertugas sebagai anggota tentera selama tujuh tahun.

Pengumuman itu dibuat Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zin sebaik sahaja selesai istiadat pengebumian secara ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, Sungai Petani pada Khamis.

Menurutnya, ia sebagai menghargai jasa dan khidmat bakti Allahyarham yang sebelum ini berpangkat Lans Koperal yang terkorban selepas lemas ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kawasan Am, Bera, Pahang.

"TDM menzahirkan penganugerahan pangkat secara posthumous dan Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohd Isa dengan ini dinaikkan ke pangkat Koperal.

"Sesungguhnya kemalangan yang menimpa merupakan satu kehilangan besar buat negara, pemergiannya sudah pasti amat dirasai bukan sahaja kepada ahli keluarga bahkan rakan seperjuangan Allahyarham," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai istiadat pengebumian jenazah kira-kira jam 2 petang tadi.

Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zin (depan) turut serta dalam istiadat pengebumian Allahyarham Mohamad Azrin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam Sungai Petani pada Khamis.
Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zin (depan) turut serta dalam istiadat pengebumian Allahyarham Mohamad Azrin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam Sungai Petani pada Khamis.

TDM dalam masa sama turut menzahirkan ucapan takziah dan dukacita kepada isteri Allahyarham, Nor Aqila Syafiqa Safuan, 22, serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan Koperal Mohamad Azrin.

Mayat Allahyarham dibawa pulang menggunakan pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Artikel Berkaitan:

Katanya, TDM mengambil berat terhadap aspek kebajikan warga yang terkesan dengan insiden kemalangan dan kehilangan nyawa sama ada ketika melaksanakan tugas operasi mahupun latihan.

Zamrose turut menyatakan bahawa bantuan kepada waris Allahyarham Mohamad Azrin turut akan diberikan berdasarkan peraturan-peraturan angkatan tetap seperti pencen, ganjaran dan faedah-faedah lain.

Pemberian faedah kelayakan kematian itu akan dianugerahkan kepada balu dan anak serta ibu atau bapa mengambil kira jumlah perkhidmatannya selama lebih tujuh tahun.

Isteri Allahyarham, Nor Aqila Syafiqa Safuan turut serta mengikuti istiadat pengebumian di Kampung Pinang Dalam Sungai Petani pada Khamis.
Isteri Allahyarham, Nor Aqila Syafiqa Safuan turut serta mengikuti istiadat pengebumian di Kampung Pinang Dalam Sungai Petani pada Khamis.

Mohamad Azrin merupakan salah seorang anggota Kompeni Pandura, Markas 10 Briged (PARA) terlibat dalam Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Bera, Pahang.

Allahyarham yang sedang melaksanakan Latihan Penyusupan iaitu Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai Pahang di sekitar Kampung Batu Bor didapati hilang pada 29 Ogos lalu.

Jasad mangsa telah ditemui di Kampung Serengkam, Maran, Pahang kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota tentera dikhuatiri lemas ketika latihan

'Dua kali cuba diselamatkan'

'Syukur jasad abang ditemui selepas empat hari'