Anggota tentera dikhuatiri lemas ketika latihan

Seorang anggota tentera dikhuatiri lemas ketika menyertai latihan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor, Bera pada Ahad. - Foto Bernama
Seorang anggota tentera dikhuatiri lemas ketika menyertai latihan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor, Bera pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BERA - Seorang adik berasa bimbang selepas dimaklumkan oleh kakak iparnya bahawa abangnya dikhuatiri lemas ketika latihan sempena Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor, Bera di sini, pada Ahad.

Noor Suhada Mohamad Isa, 24, ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin mengesahkan kejadian yang menimpa abangnya, Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.

Menurutnya, kejadian membabitkan abangnya yang merupakan anak kedua dari empat beradik itu diketahui menerusi isteri abangnya kira-kira jam 7 petang pada Ahad.

"Abang memang ada beritahu mengenai latihan di Pahang dan kali terakhir saya jumpa dia (Mohamad Azrin) pada Januari lalu.

"Tiada perubahan sikap yang ditunjukkan dan dia ceria seperti biasa" katanya lagi.

Mengharapkan abangnya segera ditemui, Noor Suhada memberitahu, anggota tentera itu satu-satunya anak tunggal lelaki dari empat beradik.

"Abang seorang penyayang, ceria dan sangat disenangi kerana sikapnya yang suka membantu orang," ujarnya.

Sebelum ini, pada Sabtu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan dan melihat latihan yang dijalankan sempena eksesais tersebut.

Artikel Berkaitan:

Eksesais Para Predator merupakan salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (PARA) yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka dalam tempoh 14 hari melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak turut memuat naik status mengenai insiden itu di laman Facebook miliknya dan melawat di tempat kejadian pada petang Ahad.