X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

'Dua kali cuba diselamatkan'

Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin lemas ketika menjalani latihan pada Ahad.
A
A

BERA - [DIKEMASKINI] Anggota tentera 10 Briged (Para) yang dikhuatiri lemas ketika menjalani latihan di Sungai Pahang dekat Kampung Bohor Baru di sini pada Ahad lalu ditemukan pada Rabu.

Mayat Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa,27 ditemui oleh penduduk kampung pada jam 8.15 pagi di Kampung Serengkam, Maran iaitu kira-kira 70 kilometer dari tempat kejadian.

Penemuan itu disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Sel Perhubungan Raya Tentera Darat pada Rabu.

Dalam kenyataan tersebut, Tentera Darat Malaysia (TDM) merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Zon 2 Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung serta mana-mana agensi yang telah membantu secara langsung atau tidak langsung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula Ahad lalu.

"TDM turut menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham Mohamad Azrin, iaitu Nor Aqila Syafiqa Safuan serta seluruh ahli keluarganya dan bantuan sewajarnya akan dihulurkan dari segala aspek untuk memastikan kebajikan keluarga tersebut.

"Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," ujar kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin bagi menjaga perasaan waris mangsa terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, mangsa ditemui dalam keadaan hanyut oleh penduduk kampung dan segera ditarik ke tebing sungai.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat," katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa merupakan anggota Tinjau daripada pasukan Kompeni PANDURA (Para) yang dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais PARA PREDATOR Siri 1/2021 di Kawasan Am, Bera, Pahang.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, anggota sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.

Mangsa dilihat tenggelam di tebing oleh ahli pasukan dan cuba ditarik naik namun gagal dan mangsa telah berjaya naik ke permukaan air tetapi dilihat tenggelam semula.

Cubaan menarik kali kedua oleh rakan mangsa juga gagal dan anggota terbabit terus tenggelam.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat dan meninjau latihan eksesais tersebut yang dijalankan dalam tempoh 14 hari melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan mencemar duli berangkat meninjau dan menyertai SAR di tempat kejadian pada Selasa.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!