Lebih banyak usaha untuk percepat penerimagunaan teknologi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, lebih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk mempercepatkan penerimagunaan teknologi kepada syarikat untuk meningkatkan produktiviti.

Beliau berkata, penerimagunaan teknologi memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi di pasaran buruh.

“Oleh itu, respons dasar yang bersesuaian adalah dengan menggalakkan dan menyokong peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada tenaga kerja sedia ada.

“Kita perlu memastikan para pekerja ini dibekalkan dengan kemahiran untuk melengkapkan teknologi baharu, berbanding digantikan olehnya,” katanya pada perasmian Program MyReskill IoT secara maya pada Khamis.

Lokman berkata, penubuhan Program MyReskill IoT oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia amat diperlukan untuk membantu pekerja sedia ada kekal relevan di pasaran buruh dan merangsang produktiviti di peringkat perusahaan, sektor dan negara.

“Ini juga merupakan peluang untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang menggunakan digital dan dipacu produktiviti.

“Memanfaatkan kelebihan teknologi dijangka menyumbang 30 peratus peningkatan produktiviti di semua sektor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk kerajaan mereka bentuk dan melaksanakan campur tangan dasar yang efektif untuk menyokong transformasi ini.

Artikel Berkaitan:

“Pengenalan dasar Industri 4WRD oleh MITI, dilengkapi dengan Rangka Kerja Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat negara dijangka memangkin pemulihan ekonomi melalui aplikasi dan penerimagunaan teknologi digital yang lebih tinggi,” katanya. - Bernama