Sime Darby Property pacu pendapatan usahawan mikro

SIME Darby Property Berhad terus memperkukuh kedudukan sebagai pemaju hartanah nombor satu apabila inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersasar kumpulan itu bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan komuniti, malah menjana impak ekonomi ketara kepada usahawan mikro di perbandarannya.
Menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi, seramai 39 usahawan mikro yang menamatkan Fasa 2 program berkenaan pada 2025 merekodkan purata peningkatan pendapatan sebanyak 242 peratus dengan 79 peratus peserta mencatat pendapatan bulanan lebih tinggi, mencecah purata RM7,643.
Selain peningkatan pendapatan, peserta program turut menunjukkan peningkatan keupayaan perniagaan apabila pengetahuan pengurusan mereka meningkat purata 110 peratus, manakala 87 peratus berjaya mengembangkan kehadiran digital melalui platform seperti TikTok dan WhatsApp Business, sekali gus memperluas capaian pasaran serta kelangsungan perniagaan jangka panjang.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama People Systems Consultancy dan mencerminkan pendekatan Sime Darby Property yang mengintegrasikan pembangunan komuniti dengan strategi pertumbuhan inklusif dan kelestarian perniagaan.
Salah seorang peserta, Noradini Abdul Razak yang menjalankan perniagaan makanan dari rumah di Bandar Bukit Raja, berjaya meningkatkan pendapatan bulanannya sehingga 900 peratus selepas menyertai EEP, termasuk memperoleh kontrak katering berskala lebih besar dan menggaji seorang pekerja sepenuh masa.
“Sokongan dan bimbingan program ini memberi keyakinan untuk saya keluar daripada zon selesa dan mengembangkan perniagaan ke tahap lebih mampan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Di luar pemerkasaan ekonomi, Sime Darby Property turut memperluas pelaburan sosial dalam pembangunan belia dan pendidikan. Melalui Program Sukarelawan Sime Darby Property, seramai 733 sukarelawan menyumbang hampir 3,000 jam khidmat komuniti, manakala Program Kembali Ke Sekolah membantu 894 pelajar dari 10 sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam aspek kelestarian alam sekitar, kempen Fabric Recycling Movement berjaya mengumpul 81,640 kilogram fabrik terpakai, selain inisiatif kitar semula di KL East Mall dan Ara Damansara yang mengalihkan ratusan kilogram sisa daripada tapak pelupusan, menyokong agenda ekonomi kitaran kumpulan.
Sime Darby Property menegaskan komitmennya untuk menjadi pengganda nilai kepada masyarakat dan ekonomi, sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan itu dalam pembangunan mampan, termasuk sasaran mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Sebagai pemaju hartanah tersenarai awam, Sime Darby Property menerajui pembangunan perbandaran terancang di 25 lokasi di seluruh negara, selain mengembangkan segmen perindustrian dan logistik bagi memperkukuh portfolio pendapatan berulangnya.
Ringkasan AI
- Sime Darby Property Berhad memperkukuh kedudukan sebagai pemaju hartanah nombor satu melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat
- Seramai 39 usahawan mikro menamatkan Fasa 2 Program Pemerkasaan Ekonomi pada 2025 dengan purata peningkatan pendapatan sebanyak 242 peratus
- Peserta program menunjukkan peningkatan keupayaan perniagaan dengan pengetahuan pengurusan naik purata 110 peratus dan 87 peratus berjaya mengembangkan kehadiran digital
- Noradini Abdul Razak, salah seorang peserta, berjaya meningkatkan pendapatan bulanannya sehingga 900 peratus
- Sime Darby Property juga melabur dalam pembangunan belia dan pendidikan, serta menjalankan inisiatif kitar semula dan kempen Fabric Recycling Movement
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
